Search

Penggiat sukan pemotoran merungut isu jalan rosak

October 26, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Selain pengguna biasa, penggiat sukan pemotoran di Sabah turut merungut dengan keadaan jalan raya di negeri ini yang masih kurang memuaskan.

Presiden Persatuan Penunggang Motosikal Besar Sabah (SBBA), Datuk Osman Ahmed, berkata selain risiko kemalangan, jalan raya yang kurang baik juga boleh menyebabkan kerosakan kenderaan.

Jelasnya, bagi penggemar sukan permotoran, khususnya penunggang motosikal berkuasa tinggi, insiden tayar dan rim pecah akibat terlanggar lubang di tengah jalan antara yang sering dialami peserta sukan itu di Sabah.

“Saya melihat jalan sekarang ini kurang memuaskan, contohnya ada empat hingga lima motosikal yang menyertai Festival Motosikal Besar Pulau Borneo Antarabangsa (BIIBBF) Ke-22 di sini, berdepan situasi itu ketika datang ke Kota Kinabalu.

Datuk Osman Ahmed.

“Ada yang kemalangan dan tayar pecah disebabkan keadaan jalan tidak baik, khususnya bermula dari Sindumin hingga ke Papar,” katanya ditemui pada pelancaran BIIBBF Ke-22 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Festival itu disertai lebih 1,000 peserta dengan kira-kira 500 motosikal berkuasa besar dari Sabah, Sarawak dan Labuan, selain negara jiran, Brunei Darussalam dan Indonesia.

Turut menyertai festival itu ialah peserta dari Singapura, Thailand, Myanmar, Korea Selatan, Indiadan Afrika.

Mengulas lanjut, Osman berkata keadaan jalan raya baik penting kepada pengguna jalan raya, termasuk kepada penggiat sukan pemotoran untuk mengembangkan lagi aktiviti sebagai satu tarikan yang boleh menjana ekonomi.

“InsyaAllah sedikit masa lagi apabila Lebuhraya Pan Borneo ini sudah selesai sepenuhnya, kita akan membuat satu program lagi program sebagai produk baharu pelancongan di Sabah,” katanya.

Kira-kira 300 motosikal berkuasa besar menyertai ‘city ride’ sempena BIIBBF di Kota Kinabalu.

Beliau yakin dengan keadaan jalan lebih baik apabila projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah siap sepenuhnya, ia bakal melonjakkan aktiviti yang boleh menjana ekonomi, termasuk sukan pemotoran motosikal berkuasa besar.

Terdahulu, Osman mengetuai kira-kira 300 motosikal berkuasa besar dalam acara jelajah sekitar bandar raya Kota Kinabalu sejauh kira-kira 20 kilometer yang bermula dari SICC, di sini.

Katanya, acara itu adalah antara program yang diatur dalam BIIBBF Ke-22 untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan penggemar motosikal besar dengan penekanan terhadap aspek keselamatan di jalan raya.

Acara itu juga katanya satu cara untuk memperkenalkan bandar raya Kota Kinabalu dan Sabah keseluruhannya kepada peserta yang datang dari luar negara. – Info X