KOTA KINABALU: Susulan kejadian Taufan Tropika Kristine (Trami) yang menyebabkan banjir besar dan tanah runtuh di Filipina, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengaturgerak sebuah helikopter EC 725 AP dari No 5 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan ke negara jiran itu bagi melaksanakan Bantuan Misi Kemanusiaan (HADR).
TUDM dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan operasi ini adalah bagi menzahirkan hasrat murni Kerajaan Malaysia dalam memberikan bantuan kemanusiaan dan menyokong Kerajaan Filipina untuk bantuan logistik udara bagi mobilisasi barangan bantuan bencana kepada rakyat mereka di sekitar kawasan terjejas bencana.
Katanya, Pesawat TUDM berlepas pada jam 7.00 pagi Sabtu dari Pangkalan Udara Labuan ke Pangkalan Udara Villamor di Manila.
“Penerbangan dijangka mengambil masa lima jam 30 minit dan pasukan TUDM akan melaksanakan persinggahan di Pangkalan Udara Autonio Bautista terlebih dahulu bagi pengisian minyak,” katanya.
Misi penerbangan diketuai oleh Mejar Thaddeus Raphael ak Azis @ Sait TUDM bersama 15 pegawai dan anggota TUDM yang lain terdiri daripada dua juruterbang, seorang pembantu juruterbang, dua pegawai kejuruteraan, dua kuartermaster udara, lima juruteknik pesawat serta empat anggota Pasukan Khas TUDM (PASKAU).
Pangkalan Udara Vilamor akan menjadi stesen utama bagi misi bantuan ini sebelum pasukan TUDM akan diaturgerak ke kawasan bencana yang diperlukan untuk penghantaran bantuan oleh Kerajaan Filipina termasuk ke Lapangan Terbang Pili di Naga City dan Lapangan Terbang Antarabangsa di Daragay Albay. – Info X