Search

145 Pati ditahan dalam operasi imigresen di Ranau

October 26, 2024

Info X Reporters

RANAU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah berjaya menahan 145 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Operasi Penguatkuasaan Imigresen yang dijalankan di Kampung Lutut, di sini, hari ini.

Operasi yang dijalankan bermula jam 12 tengah malam hingga 7 pagi itu menumpukan beberapa kelompok rumah kongsi sekitar kampung berkenaan.

Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, sepanjang operasi selama selama tujuh jam itu, seramai 220 individu diperiksa.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 145 PATI ditahan atas kesalahan tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

Sebahagian PATI yang ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan Imigresen yang dijalankan di Kampung Lutut, Ranau. – Foto/JIM Sabah

“Daripada operasi itu, kita telah memeriksa seramai 220 orang dan seramai 145 pendatang asing tanpa izin yang telah ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

“Ia membabitkan 62 lelaki dewasa dan 33 perempuan dewasa warga Filipina dan seorang Indonesia serta 20 kanak-kanak lelaki seramai dan 30 kanak-kanak perempuan,” katanya pada sidang media, hari ini.

SH Sitti Saleha berkata, semua yang ditahan berusia antara tiga bulan hingga 62 tahun dan akan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Kota Kinabalu untuk siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

Katanya, kes turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Warganegara Malaysia yang dipercayai melindungi PATI dalam premis Seksyen 55E (1).

Sementara itu, dalam operasi sama, SH Sitti Saleha berkata, operasi kali ini mencabar disebabkan struktur geografinya.

Lokasi serbuan oleh pasukan penguat kuasaan JIM Sabah di Kampung Lutut, Ranau. – Foto/JIM Sabah

Katanya, pasukan operssi terpaksa berdepan kesukaran mengharungi jalan yang tidak berturap dan berbukit-bukau yang mengambil masa hampir satu jam untuk sampai ke lokasi dan hanya boleh dilalui dengan kenderaan pacuan empat roda.

“Pasukan penguat kuasa juga terpaksa mengharungi tiga anak sungai untuk sampai ke lokasi sasaran selain tiada liputan rangkaian telekomunikasi yang menyukarkan pegawai untuk berhubung berkenaan kelancaran operasi.

“Terdapat juga warga asing yang cuba melarikan diri dan berlaku sedikit
pergelutan. Namun keadaan adalah terkawal dan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Sehubungan itu, SH Sitti Saleha berkata, operasi penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.

“JIM mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi PATI atau terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang PATI atau sebarang maklumat yang boleh membantu JIM dalam melaksanakan penguatkuasaan supaya tampil menyalurkan maklumat berkenaan,” tegasnya. – Info X