KOTA BELUD: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) mengumumkan dua lagi manifesto, termasuk berkaitan pemilikan tanah yang akan dipertaruhkan pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Presidennya, Datuk Peter Anthony, berkata jika menjadi kerajaan selepas PRN17 nanti, rakyat negeri ini yang belum memiliki tanah akan diberikan tanah.
Menerusi manifesto berkaitan pemilikan tanah itu, beliau berkata pemberian tanah kepada syarikat besar oleh kerajaan sebelum ini juga akan disiasat.
Katanya, sistem pengurusan tanah, khususnya tanah adat anak negeri (NCR) yang ada sekarang juga akan ditambah baik bagi memastikan masalah yang timbul dapat diselesaikan.
“Kita akan perkasakan sistem pengurusan tanah di Sabah ini kerana sekarang ini berlaku banyak masalah berkaitan tanah, contohnya di Papar, Nabawan, Ranau..
“Kerajaan patut ada penyelesaian, banyak geran tanah dikeluarkan untuk kayu balak, kita akan kaji kedudukan ini.
“Kita masukkan dalam manifesto untuk buat penambahbaikan pengurusan tanah NCR dan lain-lain, kita akan beri peluang rakyat yang belum ada tanah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pelancaran jentera PRN17 PKDM bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Presiden PKDM, Datuk Wetrom Bahanda dan Ketua PKDM Kota Belud, Datuk Alimudin Kaida.
Peter berkata, satu lagi manifesto PKDM ialah pengwujudan semula Amanah Saham Sabah dengan nilai tertentu yang akan diagihkan kepada setiap rakyat negeri ini untuk manfaat kira-kira 3.4 juta rakyat Sabah ketika ini.
Pada pelancaran jentera PRN17 bagi DUN Limbahau di Papar dua minggu lalu, Peter mengumumkan pemberian pendidikan percuma kepada rakyat Sabah, termasuk biasiswa kepada semua pelajar yang melanjutkan pengajian ke universiti.
Selain itu, manifesto PKDM turut menggariskan pemberian bantuan orang tua sebanyak RM500 sebulan kepada semua rakyat Sabah apabila mencapai umur 60 tahun dan rumah kepada semua keluarga yang belum memiliki rumah.
Ia menjadikan lima manifesto setakat ini ditawarkan PKDM kepada rakyat Sabah pada PRN17 nanti.
Peter sebelum ini menyatakan hasrat PKDM untuk bertanding 35 hingga 40 kerusi dan menjadi ‘king maker’ bagi membentuk kerajaan negeri selapas PRN17 nanti dengan tumpuan di kawasan ramai pengundi Kadazandusun dan Murut. – Info X