KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyampaikan insentif RM2.19 juta kepada atlet Sabah yang berjaya memenangi pingat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI dan Para SUKMA XXI di Sarawak baru-baru ini.
Turut mendapat ganjaran ialah pelari negara, Eddy Bernard yang mendapat pingat gangsa dalam acara 100m pada sukan Paralimpik Paris 2024, dengan menerima insentif sebanyak RM50,000.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata insentif turut diberikan kepada jurulatih dan pengurus pasukan yang banyak berkorban menjaga atlet.
“Bagi pihak kerajaan negeri, saya ingin merakamkan tahniah dan syabas kepada atlet yang telah mewakili negeri Sabah pada kedua-dua temasya sukan berprestij ini,” katanya dalam ucapan padamajlis penyampaian insentif kemenangan, di sini, semalam.
Beliau diwakili Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Ellron Alfred Angin.
Hajiji berkata, atas keprihatinan kerajaan negeri, insentif sebanyak RM245,000 diberikan kepada jurulatih dan pengurus pasukan SUKMA, manakala sebanyak RM250,500 diberikan kepada jurulatih dan pengurus pasukan Para SUKMA.

“Saya juga mengucapkan tahniah kepada atlet renang yang berasal dari daerah Sandakan iaitu Shahafiq Abdullah kerana telah dipilih sebagai pemenang anugerah Atlet Lelaki Terbaik Para SUKMA Edisi Ke-21, 2024 selepas membawa pulang empat pingat emas, satu pingat perak dan satu pingat gangsa.
“Lebih membanggakan lagi, keempat-empat pingat emas yang dimenangi beliau itu adalah catatan rekod baharu kebangssan.
“Dengan kejayaan itu, Shahafiq akan menerima insentif tambahan untuk anugerah ini iaitu sebanyak RM10,000,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Menteri berharap semua perancangan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan Kementerian Belia dan Sukan Sabah berjalan dengan lancar khususnya dalam pembangunan sukan dan belia di negeri ini.

“Pada bulan September lalu, saya telah mengadakan lawatan rasmi ke Pejabat Kementerian Belia dan Sukan Sabah di Wisma MUIS.
“Saya telah menerima taklimat berkaitan usaha kementerian ini untuk terus memajukan aspek sukan dan belia di negeri ini,” katanya.
Beliau memberi jaminan kerajaan negeri akan terus memperuntukkan perbelanjaan besar dan konsisten bagi memastikan lebih banyak aktiviti sukan dan belia dapat dijalankan.
“Kita juga akan terus menyediakan prasarana dan teknologi yang moden dari semasa ke semasa bagi memenuhi keperluan atlet dan belia untuk berlatih atau bekerja dengan lebih efisien,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak berkaitan dalam pembangunan sukan, termasuk jurulatih, pengurus dan atlet agar sentiasa memanfaatkan segala kemudahan yang disediakan untuk meningkatkan pencapaian dalam bidang sukan masing-masing.
“Ini termasuk untuk memastikan kejayaan lebih gemilang, bukan saja di peringkat kebangsaan malah di arena antarabangsa.
“Setiap kejayaan yang diperoleh bukanlah penamat perjuangan kita. Sebaliknya, ia adalah titik permulaan bagi kita mencapai lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.
“Ingin saya tegaskan juga, sukan bukan sekadar mengenai pingat dan kemenangan semata-mata, sebaliknya ia melahirkan sifat ketekunan, kerjasama dan integriti.
“Nilai inilah yang sepatutnya tersemat dalam diri atlet. Saya berharap semua pihak akan terus memartabatkan sukan di negeri ini, sekali gus mengharumkan nama negeri dan negara di persada antarabangsa,” katanya. – Info X