KOTA KINABALU: Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda meletakkan harapan tinggi kepada kebolehan Ketua Polis Balai Inanam yang baharu Sub Inspektor Mohd Rashidi Nawawi dalam mengurangkan kadar jenayah di kawasan Inanam.
Kasim berkata, berbekalkan pengalaman lama Mohd Rashidi dalam perkhidmatan akan memberikan satu impak baik kepada pentadbiran Balai Polis Inanam.
“Kawasan Inanam difahami sebagai salah satu kawasan padat yang ada di ibu negeri, lokasi ini juga dijadikan tumpuan untuk pekerja dari luar bermastautin di sini.
“Dengan penugasan baharu ini mungkin ada strategi yang akan dirancang dan diatur balik bagi menentukan pengoperasian dalam usaha mengurangkan kadar jenayah selain penagihan dadah di kawasan ini.
“Pada masa sama, saya juga mencadangkan agar jawatan yang belum diisi itu akan diambil alih oleh pegawai atau anggota dari dalam IPD Kota Kinabalu sendiri dan bukan dari luar bagi memantapkan lagi pengoperasian serta perkhidmatan kepolisan di dalam daerah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyaksikan upacara menandatangani dokumen serah terima tugas bagi jawatan Ketua Polis Balai Inanam, Luyang serta Alamesra di Balai Polis Inanam, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, jawatan Ketua Polis Balai Inanam dilaksanakan antara Sub Inspektor Mohd Hadzir Mohd Yusof dengan Mohd Rashidi manakala Ketua Polis Balai Luyang dijalankan antara Mohd Rashidi dengan Sarjan Abang Roslan Abang Sharkawi.
Jawatan Ketua Polis Balai Alamesra di antara Sub Inspektor Fadiluddin Idris dengan Sarjan Md Nazir Saidi.
Mohd Hadzir akan bersara wajib manakala Fadiluddin akan berpindah dan bertugas sebagai Ketua Polis Balai Menumbok. – Info X