Search

PRN17: ‘Bincang dengan kami, bukan di atas’ – Razeef Rakimin

November 2, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: PKR Sabah mahu sebarang rancangan kerjasama di antara Pakatan Harapan (PH) dengan mana-mana parti atau gabungan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) mesti melalui perbincangan dengan kepemimpinan negeri.

Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin, berkata perbincangan di peringkat pemimpin atasan PH Pusat termasuk dengan Barisan Nasional (BN) tidak boleh diambil kira kerana keputusan akhir dibuat kepemimpinan negeri sejajar dengan autonominya.

“PKR Sabah ada autonomi sendiri, jadi bagi kami sesiapa yang mahu bekerjasama dengan kami harus berjumpa dengan kami, berbincang dengan kami, bukan berbincang di atas.

“Sebabnya, keputusan kami yang buat dan kami tahu siapa yang lebih sesuai untuk bekerjasama. Kalau BN rasa ingin bekerjasama, boleh datang jumpa kami, begitu juga dengan parti lain termasuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Kita tidak mahu keputusan dibuat tanpa pengetahuan kita, kena hormat kita di sini dan setakat ini tiada yang datang atau berjumpa dengan kami di sini,” katanya pada sidang media PKR Sabah, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini yang mengatakan kerjasama PH dan BN untuk menghadapi PRN17 Sabah sudah diputuskan.

Razeef berkata, PH Sabah melalui parti komponennya di negeri ini yang akan memutuskan dengan siapa mereka mahu bekerjasama sebelum memaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi PH dan Presiden PKR.

Jelasnya, setakat ini PKR dan PH Sabah selesa bekerjasama dengan GRS di peringkat negeri, manakala dengan BN di peringkat kerajaan Persekutuan.

Mengenai kebarangkalian kerjasama dengan Parti Warisan, Razeef berkata beliau secara peribadi melihat tiada kemungkinan ke arah itu.

“Sebab, kita tengokpun beberapa kenyataan pemimpin mereka sebelum ini seolah menyerang kita. Jadi buat apa kita bekerjasama dengan orang yang menyerang kita,” katanya.

Sementara itu, Razeef yang juga Ketua Cabang PKR Tuaran, berkata PH Sabah bersedia bertanding di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN17, namun ia tertakluk kepada rundingan dengan parti lain.

Katanya, di pihak PH Sabah, rundingan kerusi di antara PKR, DAP, AMANAH dan Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) hampir dimuktamadkan, namun rundingan seterusnya perlu dilakukan dengan parti lain.

“Setakat ini PH bersedia untuk bertanding 73 kerusi DUN. Cuma selepas itu terserah kepada rundingan dengan parti yang lain. Dalam PH sendiri hampir selesai proses rundingan kerusi,” katanya. – Info X