KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menubuhkan Pusat Penyelidikan Ekonomi Biru dan Keselamatan Maritim (PPEBKM) sebagai usaha memperkukuh penyelidikan berkaitan ekonomi biru dan keselamatan maritim di Sabah.
Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, berkata penubuhan pusat itu selari dengan agenda kerajaan negeri di bawah inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ)
“Seperti yang kita tahu, ekonomi biru adalah satu agenda besar kerajaan negeri di bawah SMJ, dengan peranan universiti yang mempunyai pakar dalam hal ekonomi biru dan maritim menjadikannya sesuai untuk penubuhan pusat ini.

“Banyak penyelidikan boleh dilakukan berkaitan ekonomi biru dan keselamatan untuk diterbitkan dalam jurnal bertaraf dunia,” katanya ketika merasmikan bangunan pejabat PPEBKM di Pantai Pusat Pembangunan Luar (ODEC), UMS, baru-baru ini.
Kasim berkata, Sabah mempunyai khazanah luas yang menjadi sumber ekonomi yang besar untuk negeri ini jika diterokai sepenuhnya.
Jelasnya, dari segi keselamatan maritim, Sabah adalah satu-satunya negeri yang dikelilingi tiga laut iaitu Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi.
“Ketiga-tiga lautan ini terdedah dengan pelbagai ancaman termasuk penyeludupan, penculikan, peras ugut dan sebagainya,” katanya.

Kasim berkata, pengumpulan pelbagai kajian dan data penyelidikan yang berkaitan amat penting bagi membantu pembentukan dasar di pihak kerajaan.
Mengulas lanjut, Kasim juga berkata, peranan pusat itu adalah untuk memperkaya sumber penyelidikan dan khazanah ilmu untuk generasi akan datang.
Katanya, ia turut menjadi pusat makmal dan penyelidikan yang akan dijalankan secara menyeluruh di lautan yang mengelilingi Sabah.

Pada majlis itu, Kasim turut menyempurnakan pelancaran Jurnal dan Pangkalan Data PPEBKM.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Operasi (COO) Sekretariat Sabah Maju Jaya, Ramlee Kariah; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof Dr Rosalam Sarbatly dan Pengarah PPEBKM UMS, Prof Dr Ismail Ali. – Info X