Search

Pelajar tahan azab punggung tersepit di rangka kerusi

November 5, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Seorang pelajar perempuan terpaksa menahan sakit hampir sejam selepas bahagian punggungnya tersepit di antara besi rangka kerusi yang rosak tempat duduknya, di sini, pagi ini.

Dalam kejadian di SMK Tawau II itu, mangsa yang berusia 14 tahun cedera ringan dan dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Timbalan Penguasa Bomba, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.08 pagi.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian anggota bomba mendapati sebahagian badan mangsa tersepit pada kerusi besi.

Pasukan bomba menggunakan peralatan khas untuk memotong besi bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit pada kerusi besi berkenaan. – Foto/Bomba

“Anggota bomba menggunakan peralatan khas (hydraulic cutter) bagi memotong kerusi besi berkenaan sebelum mengeluarkan mangsa perlahan-lahan.

“Mangsa cedera ringan dan dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan jam 9.45 pagi. – Info X