KENINGAU: Sebanyak 30 pasukan bakal beraksi merebut gelaran juara kejohanan bola sepak Keningau Premeir League (KPL) edisi 2024-2025 yang akan bermula pada 9 November ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Keningau (Keningau FA), Rafie Robert, berkata selain dari Keningau, kejohanan itu turut disertai pasukan dari Tenom, Pagalungan, Nabawan, Beaufort dan Kota Kinabalu.
Beliau berkata, perlawanan awal dijadual bermula pada Sabtu ini, disusuli perlawanan seterusnya yang berterusan hingga Februari 2025.
“Semoga kejohanan ini dapat berjalan dengan lancar yang mana pertandingan akan bermula pada 9 November dan dijangka berakhir pada Februari 2025.
“Saya mengharapkan ada pasukan primer league ini dapat menyertai kejohanan yang lebih tinggi lagi di peringkat kebangsaan ataupun Asia selepas ini,” katanya pada perasmian kejuaraan KPL 2024/2025 di Taman Bandukan Riverside Resort, Bingkor, di sini.
Perasmian liga bola sepak itu disempurnakan Pembantu Menteri Kerja Raya negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik.

Beliau yang juga Naib Presiden 4 Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), berkata kejohanan itu adalah kesinambungan kejohanan Keningau FA Cup 2015.
Kejohanan itu, katanya dijenamakan semula kepada KPL dengan dibahagikan kepada dua liga utama iaitu Liga Satu MP Project Cup dan Liga Dua Shap Cup.
“Sebanyak 17 pasukan berentap dalam Liga Satu yang terbuka kepada semua peringkat umur, manakala Liga Dua disertai 13 pasukan membabitkan pemain berumur 18 tahun ke bawah,” katanya.
Rafie berkata selepas perlawanan liga, empat pasukan teratas dari kedua-dua liga bakal bersaing pula dalam Kejohanan Keningau FA Cup.
Selain itu, katanya dua pasukan teratas dalam Liga Satu dan Liga Dua KPL juga bakal bersaing dalam PEXOHOLIC Cup.
“Kejohanan ini menawarkan format lebih kompetitif sekali gus menguji ketangkasan dan strategi pasukan.
“Ini adalah peluang untuk meningkatkan daya saing dan memberikan semangat perlawanan yang lebih membara,” katanya.
Sementara itu, katanya satu lagi kejohanan yang dinamakan Jetama Champions League bakal menanti juara dari KPL Liga Satu MP Project Cup, KPL Liga Dua Shap Cup, Keningau FA Cup dan PEXOHOLIC Cup bagi menentukan juara keseluruhan.
“Kejohanan ini adalah medan bagi pasukan terbaik untuk menguji keupayaan mereka dan mendapatkan pendedahan yang lebih luas,” katanya.
Rafie berkata, KPL musim ini adalah hasil komitmen berterusan Keningau FA dalam mengangkat sukan bola sepak tempatan yang mana kejohanan itu turut diiktiraf SAFA dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Jelasnya, ia adalah bukti kepercayaan badan induk bola sepak itu kepada Keningau FA atas komitmen menganjurkan kejohanan yang memasuki edisi ketiga sejak penganjuran pertama pada 2015.
Beliau yakin dengan sokongan semua pihak, kejohanan itu akan terus berkembang maju pada masa akan datang.
“Ini bukan saja menjadi platform bagi memartabatkan sukan bola sepak di Keningau tetapi juga sebagai usaha memperkasakan bakat-bakat muda yang ada di daerah ini dan sekitarnya,” katanya. – Info X