BELURAN: Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) disyaki pengedar dadah ditahan polis dalam operasi ‘Ops Tapis’ di tepi jalan Kampung Sungai-Sungai, Paitan, di sini, semalam.
Suspek lelaki berusia 28 tahun mengaku membawa syabu sebelum menyerahkan beg sandang berisi dadah berkenaan ketika ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran, pada jam 6.30 petang.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Hasan Majid berkata, ketika dalam tugas Ops Tapis, menahan seorang lelaki yang mencurigakan di kampung berkenaan.
Katanya, hasil soal siasat, suspek mengaku memiliki dadah jenis syabu dan menyerahkan beg sandang yang dipakainya.

“Hasil pemeriksaan polis di dalam beg sandang itu menemui 14 bungkusan plastik lutsinar dan setiap satu berisi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.
“Jumlah anggaran berat kasar dadah adalah seberat 52 gram. Suspek ditahan dan barang kes dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Hasan berkata, suspek yang ditahan adalah warga asing dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
“Ujian saringan air kencing yang dijalankan juga mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari dan polis masih mengesan rangkaian pengedaran dadah bagi siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1953,” katanya.
Sementara itu, Hasan berkata polis ingin menegaskan bahawa mengedar, memiliki atau menyalahgunakan dadah adalah satu kesalahan di sisi undang-undang dan polis mengalu-alukan kerjasama serta maklumat daripada orang awam untuk sama-sama membanteras kegiatan ini. – Info X