KOTA KINABALU: Pembangunan minyak dan gas kekal sebagai asas ekonomi Sabah dengan hasil sektor itu menyumbang kira-kira 50 peratus daripada RM6.97 bilion hasil negeri pada 2023.
Sejak penubuhannya pada awal 2022 di bawah Ketua Menteri Diperbadankan, SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE) menunjukkan prestasi kewangan yang kukuh dan pertumbuhan komitmen tanggungjawab.
Menerusi satu kenyataan, SMJE menyatakan bahawa ia berjaya mencatat pencapaian penting kewangan dengan mengumpul RM900 juta melalui sukuk terlebih langgan dan memperoleh penarafan AAA.
Syarikat itu, katanya berkembang menjadi syarikat aset bernilai RM5 bilion dengan melaporkan keuntungan bersih selepas cukai sebanyak RM259 juta bagi Tahun Kewangan 2023.
“Pelaburan strategik SMJE sehingga kini termasuk kepentingan 50 peratus dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Samarang, yang menjana RM940 juta daripada jualan minyak mentah dan RM336 juta daripada jualan gas.
“Dengan rizab yang dianggarkan dapat mengekalkan pengeluaran selama 15-20 tahun pada paras semasa, Samarang memainkan peranan penting dalam landskap tenaga Sabah dengan membekal gas kepada tiga loji janakuasa di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), memperkukuh kapasiti tenaga negeri.
“Selain itu, pelaburan SMJE dalam Projek LNG9 dan kompleks SAMUR telah menjana hasil gabungan RM1 bilion sehingga kini daripada operasi pertengahan dan hiliran,” kata kenyataan itu.
Katanya, aset yang diunjurkan akan terus memberikan aliran tunai yang stabil untuk 12-13 tahun akan datang, dengan potensi lanjutan bergantung kepada ketersediaan gas.
Kenyataan itu turut menyebut mengenai pengambilalihan Sabah International Petroleum (SIP) oleh SMJE yang membuktikan nilai akretif tinggi disebabkan 10 peratus kepentingan SIP dalam LNG9 yang kini dipindahkan kepada SMJE.
“Hutang SIP juga telah dibiayai semula melalui sukuk faedah yang lebih rendah menghasilkan penjimatan faedah sebanyak RM60 juta pada 2023 sahaja. SIP kini merupakan operasi bebas hutang yang menyediakan aliran tunai yang stabil.
“Dalam sektor Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE), SMJE bekerjasama dengan PETRONAS dan pemain industri, memacu peningkatan hasil sebanyak 143 peratus untuk syarikat OGSE tempatan dan pertumbuhan 43 peratus dalam firma tempatan yang aktif dari 2021 hingga 2023,” katanya.
Sementara itu, bagi tinjauan masa depan, SMJE menegaskan ia kekal komited terhadap peranannya sebagai pelabur kewangan yang berhemat, mengutamakan pemerolehan aset penghasil aliran tunai menguntungkan yang dikendalikan syarikat bereputasi dengan rekod prestasi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang kukuh. – Info X