Search

Kerajaan guna fakta sejarah yang salah tangkis tuntutan Sulu – Yong Teck Lee

November 14, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee, mendakwa kerajaan Persekutuan menggunakan fakta sejarah yang salah bagi menangkis tuntutan Sulu terhadap Sabah.

Beliau berkata, kerajaan persekutuan, melalui pegawainya, harus segera berhenti melakukan kesilapan yang sama iaitu mengiktiraf geran yang tidak sah pada 22 Januari 1878 di antara Sulu dan Overbeck.

Katanya, dokumen sejarah atau geran yang betul dan sah ialah geran Brunei-Overbeck bertarikh 29 Disember 1877 dan ia boleh disokong ahli sejarah yang berwibawa.

Disebabkan itu, katanya kerajaan Persekutuan berada di landasan yang salah untuk memerangi tuntutan Sulu.

“Saya telah menulis kepada menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said pada 17 Mac 2023 dan sekali lagi pada 31 Mac 2023, menggariskan fakta sejarah kritikal ini.

“Saya menegaskan bahawa seorang bekas Peguam Negara (Tan Sri Tommy Thomas) telah berkata (pada webinar yang dianjurkan oleh Persatuan Undang-Undang Sabah pada April 2022), yang sangat mengejutkan saya, bahawa tiada siapa yang memberitahunya tentang geran 29 Disember 1877 antara Brunei dan Overbeck.

Yong menunjukkan salinan surat daripada Sultan Brunei kepada British yang menyangkal tuntutan Filipina atau Sulu terhadap Sabah.

“Nampaknya pegawai kerajaan persekutuan berkeras untuk menggunakan naratif sejarah yang salah dengan mengiktiraf geran Sulu-Overbeck 1878.

“Mengapakah kerajaan persekutuan bertegas menggunakan naratif Sulu (Filipina)? Mengapakah kerajaan persekutuan tidak menggunakan geran Brunei-Overeck 1877 yang secara berkesan boleh menghabiskan dan menguburkan tuntutan Sulu? Ini adalah persoalan yang meresahkan rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau mengulas perkembangan terbaharu membabitkan kumpulan mendakwa waris kesultanan Sulu yang dikatakan bebas mengambil tindakan ke atas Sabah selepas tuntutannya di Mahkamah Agung Perancis baru-baru ini, gagal.

Peguam mewakili kumpulan itu, Paul Cohen didakwa berkata, tindakan mahkamah menolak cabaran oleh plaintif terhadap keputusan awal yang menolak ‘Anugerah Akhir’ hampir AS$15 bilion oleh penimbang tara Sepanyol, Dr Gonzalo Stampa kini bermakna anak guamnya bebas memajak Sabah kepada negara lain, termasuk China dan Filipina.

Teck Lee berkata, selain dua surat kepada Azalina, beliau juga memberitahu pegawai Jabatan Perdana Menteri di hadapan ramai pegawai kerajaan dan media pada taklimat di Pacific Sutera pada 5 Mei 2023 bahawa garis masa bermula pada 1878 adalah salah fakta, sebaliknya harus menggunakan garis masa 1877.

“Sebagai penceramah panel, saya juga memberitahu pegawai persekutuan lain di Kolokium Timbang Tara Antarabangsa di SICC pada 4 Julai 2023 bahawa dokumen yang berkaitan adalah di Brunei. Azalina dan pasukannya tidak perlu mengembara ke seluruh Eropah untuk melawan tuntutan Sulu. Jawapannya ada di Brunei.

“Untuk membantu kerajaan persekutuan, saya kini menyampaikan salinan surat (bertarikh 29 Julai 1963) daripada Sultan Brunei kepada Setiausaha Negara British bagi Hubungan Komanwel.

“Ini hanyalah satu daripada beberapa dokumen yang menyangkal tuntutan Filipina/Sulu terhadap Sabah. Dalam surat itu, tiga minggu selepas Perjanjian Malaysia 9 Julai 1963, tidak lain adalah Sultan Brunei sendiri menyoal British tentang ‘wang cession’ yang dari semasa ke semasa perlu dibayar kepada Brunei berkenaan dengan beberapa kawasan di Borneo Utara dan Sarawak,” katanya.

Bekas Ketua Menteri itu berkata surat Brunei itu seterusnya membuktikan bahawa Brunei tidak pernah melulus atau memindah atau dengan apa cara sekalipun menyebabkan mana-mana bahagian Borneo Utara (Sabah) diserahkan kepada Sulu.

“Jika kerajaan persekutuan bertegas dengan naratif yang salah mengiktiraf pemberian Sulu-Overbeck 1878, maka itu adalah ketidakadilan yang teruk kepada Malaysia, terutama kepada rakyat Sabah yang terpaksa menanggung beban menghadapi tuntutan Filipina/Sulu,” katanya. – Info X