KOTA KINABALU: Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Datuk Sapawi Ahmad akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan sempena mesyuarat agung tahunan pertubuhan itu pada 6 hingga 7 Disember depan.
Beliau berkata, keputusan itu sejajar usaha merealisasikan visi dan misinya menerusi Pelan Strategik Pembugaran USIA 2022-2024 ke arah mengembalikan kegemilangan USIA, seiring dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Saya mempertahankan jawatan Yang Dipertua USIA untuk memastikan pelaksanaan visi dan misi itu berjalan lancar bagi kepentingan ummah keseluruhannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Pusat Pembangunan Komuniti (PPK) Wanita USIA Negeri Sabah di Tanjung Aru, dekat sini, pada Ahad.
Pusat itu dirasmikan Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Samad Jambri.
Difahamkan, Sapawi bersama Timbalannya, Datuk Abdul Hakim Gulam Hasan bakal berdepan pertandingan satu lawan satu pada pemilihan USIA itu nanti.
Seramai 51 orang mengesahkan pencalonan bagi pemilihan pelbagai jawatan dalam pertubuhan itu pada kali ini.
Sementara itu, Sapawi mengulangi komitmennya meneruskan agenda pembugaran USIA yang sebahagiannya sudah siap, manakala selebihnya sedang dalam pelaksanaan.
Antara visi dan misi itu termasuk memperkasa, membugar dan menggilap imej USIA, mempelbagaikan aktiviti dakwah dan mengukuhkan pengurusan organisasi, aset dan kewangan.
Dalam pada itu, beliau berkata program jerayawara bagi memperjelaskan mengenai pencapaian Indeks Prestasi Utama (KPI) menerusi pelan strategik itu, kini sedang berjalan mengikut zon yang ditetapkan.
Terbaharu diadakan kelmarin bagi Zon Kota Kinabalu, dan akan disusuli Zon Sandakan, Lahad Datu dan Tawau selepas ini.
“Menerusi program jerayawara ini, kita memberi penjelasan mengenai kemajuan dan prestasi pelaksanaan program USIA seperti digariskan dalam pelan strategik itu.
“Pelaksanaan pelan strategik ini memerlukan kesinambungan kepimpinan, ketelusan dan keikhlasan serta kesediaan bekerja keras sebagai satu pasukan.
“Ini penting supaya USIA dapat terus berperanan membangunkan masyarakat selari dengan Hala Tuju SMJ, yang bermaksud kita sentiasa relevan dengan keadaan semasa,” katanya.
Sapawi berkata pelan strategik yang diperkenalkannya itu cukup komprehensif sifatnya, merangkumi semua aspek termasuk pembangunan sumber manusia dari segi teknologi maklumat serta pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
Katanya, semua perancangan strategik itu perlu diteruskan oleh siapapun yang diberikan amanah untuk menggalas kepemimpinan USIA, demi kepentingan ummah keseluruhannya. – Info X