KOTA KINABALU: Pengurusan Sabah FC akan melantik ‘caretaker’ bagi mengendalikan skuad Sang Badak selepas Datuk Ong Kim Swee tidak lagi bersama pasukan, mulai Ahad ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata pelantikan ‘caretaker’ itu akan diputuskan pada mesyuarat pengurusan Sabah FC dalam masa terdekat.
“Belum ada (pengganti) dan akan dilantik ‘caretaker’ buat sementara waktu dalam masa terdekat selepas pengurusan Sabah FC bermesyuarat kelak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau diminta mengulas keputusan mengejut Kim Swee tidak meneruskan khidmat bersama Sabah FC apabila tempoh kontraknya tamat akhir bulan ini.
Sebelum ini, Kim Swee ditawarkan tambahan kontrak hingga tamat aksi Liga Super musim ini seperti dipersetujui SAFA dan Sabah FC.
Ketika ini Sabah FC tiada Penolong Jurulatih selepas penyandang tugas itu sebelum ini, Alto Linus dilantik sebagai Ketua Jurulatih Sabah FC II.
Berikutan itu, Sabah FC perlu mencari pengendali baharu bagi meneruskan perjuangan pasukan menghadapi saingan Piala Malaysia dan baki perlawanan Liga Super.
Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata SAFA menerima keputusan yang dibuat Kim Swee itu walaupun sebelum ini menawarkan agar beliau terus bersama Sabah.
Menerusi kenyataan medianya pagi tadi, Kim Swee berkata beliau memilih haluan berbeza dan perlawanan pertama Pusingan 16, Piala Malaysia menentang PT Athletic di Kuala Lumpur, Sabtu ini adalah tugasnya terakhirnya bersama Sabah FC. – Info X