TAWAU: Sebuah rumah di taman perumahan Jalan Utara Baru, di sini, yang disyaki dijadikan ‘port’ tempat menghisap dadah diserbu polis, malam tadi.
Serbuan jam 7.15 malam oleh sepasukan polis dari Balai Polis Tawau menahan lima individu termasuk dua wanita berusia lingkungan 32 hingga 48 tahun.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil maklumat risikan, dipercayai beberapa individu dewasa sedang melakukan jenayah berkaitan dadah di dalam sebuah rumah yang dikenal pasti sarang penagih dadah.
Katanya, ketika serbuan dibuat, didapati tiga lelaki dan dua wanita berada di dalam rumah berkenaan.

“Pemeriksaan badan semua suspek, tidak menemukan apa-apa barang terlanggar namun anggora bertugas menemui dua peket plastik jernih berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.
“Turut ditemui bersama peralatan menghisap syabu diletakkan di atas meja berhampiran tempat semua suspek berkumpul,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, semua suspek kemudian dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.
“Semakan rekod jenayah lampau juga mendapati semua suspek pernah disabitkan dengan pelbagai jenis kesalahan termasuk rekod jenayah dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Info X