Search

26 rumah setinggan di tanah Jabatan Perhutanan dirobohkan di Kunak

November 22, 2024

Info X Reporters

KUNAK: Sebanyak 26 rumah setinggan yang dibina secara haram di atas tanah milik Jabatan Perhutanan Daerah Kunak yang terletak di Kampung Kulluk Jaya, di sini, dirobohkan semalam.

Operasi perobohan itu dilaksanakan selepas notis dikeluarkan berkuatkuasa pada 1 hingga 30 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Sabarudin Rahmat berkata, seramai 23 pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak hadir memberi bantuan kawalan keselamatan sepanjang operasi itu dijalankan.

Katanya, operasi ini turut membabitkan beberapa agensi kerajaan antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Pasukan agensi keselamatan merobohkan rumah setinggan di Kampung Kulluk Jaya, Kunak. – Foto/PDRM

“Selain itu, turut hadir Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Perhutanan, Jabatan Hidupan Liar (JHL), Jabatan Perikanan, Sabah Electricity, Sabah Port dan Ahli Majlis Daerah.

“Tindakan perobohan dijalankan mengikut Seksyen 173(1)(h) Ordinan Tanah Sabah dan mengikut Ordinan Tanah Bab 68 berdasarkan surat notis yang dikeluarkan pegawai Jabatan Tanah Dan Ukur (JTU) Kunak dan Surat Notis yang dikeluarkan oleh pegawai Eksekutif Majlis Daerah Kunak bertarikh 24 September 2024,” katanya dalam kenyataan, media hari ini.

Menurutnya, operasi Perobohan ini bukan sahaja bertujuan untuk menghapuskan penempatan haram, tetapi juga untuk memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk sekitar.

“Operasi berjalan dengan baik dan lancar tanpa sebarang bantahan dan provokasi dari penduduk setinggan yang berkenaan,” katanya. – Info X