TAWAU: Polis menahan seorang lelaki semalam selepas disyaki menghina agama Islam melalui satu hantaran di media sosial Facebook yang tular, baru-baru ini.
Suspek warga tempatan berusia 70 tahun itu yang juga pemilik akaun media sosial ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, jam 12.15 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima satu laporan polis dibuat oleh seorang lelaki yang mendakwa melihat satu kenyataan yang dimuat naik oleh individu di Facebook yang dianggap menyinggung sensitiviti umat Islam, pada Selasa lalu.
“Lelaki warga tempatan itu ditahan selepas polis menerima laporan daripada orang awam yang memaklumkan mengenai hantaran berkenaan.
“Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti niat disebalik kenyataan yang dimuat naik,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana sengaja mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan perasaan permusuhan, kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana agama dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.
Sementara itu, Jasmin berkata pihaknya akan mengambil tindakan serius terhadap sebarang bentuk penghinaan terhadap agama dan etnik di negara ini, yang boleh mencetuskan ketegangan serta mencabar keharmonian masyarakat berbilang bangsa dan agama khususnya di daerah ini. – Info X