NABAWAN: Daerah ini menerima suntikan dana RM3.37 juta bagi mengembangkan potensi industri kopi untuk membantu pengusaha tanaman komoditi itu di kawasan pedalaman negeri ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata RM2.24 juta daripada peruntukan itu digunakan untuk pembinaan Coffee House dan Cafe Coffeelive di Stesen Pertanian Sepulut.
Katanya, baki sebanyak RM1.13 juta lagi digunakan untuk menaik taraf pusat pengumpulan hasil kopi di daerah ini.
“Projek yang dibawa melalui Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan bagi Mengoptimumkan Penggunaan Tanah dengan kerjasama kerajaan negeri adalah inisiatif ‘quick-win’ KPKM yang dijangka dapat disiapkan menjelang Februari 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Coffee House dan Cafe Coffeelive, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Arthur menggesa pengusaha tanaman kopi di daerah ini dan Sook menggunakan kemudahan itu sepenuhnya untuk memanfaat hasil kopi mereka tanpa perlu pergi jauh ke Tenom.
Beliau percaya projek itu memberi impak dalam membantu pengusaha tanaman kopi meningkatkan pendapatan untuk memperbaiki taraf sosio ekonomi mereka.
Katanya, ia juga dapat memberi peluang pekerjaan terutama kepada belia, selain menghasilkan produk hiliran kopi yang berkualiti dan selamat dimakan serta memenuhi standard pensijilan yang ditetapkan untuk pasaran dalam dan luar negeri.
Berdasarkan perangkaan dikeluarkan Jabatan Pertanian Sabah, setakat 2022, pengeluaran kopi di negeri ini masih rendah dengan tahap kecukupan hanya 35 peratus berdasarkan keluasan bertanam 1,434.2 hektar dan luas berhasil 936.1 hektar dengan pengeluaran hasil sebanyak 936.1 tan.
Bagi pengeluaran kopi di Nabawan dan Sook, keluasan bertanam setakat ini hanya 341.6 hektar dengan pengeluaran hasil sebanyak 248 tan setahun mewakili 26.5 peratus daripada pengeluaran kopi di Sabah.
Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata perangkaan itu menunjukkan industri kopi mempunyai potensi yang masih luas dan terbuka untuk diterokai.
Selain meningkatkan pengeluaran kopi, beliau berkata usaha itu perlu disokong aktiviti pemprosesan hiliran bagi menambah nilai hasil kopi untuk pasaran tempatan dan eksport. – Info X