Search

Remaja bongkar perbuatan terkutuk bapa tiri

November 28, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki merogol anak tirinya sejak beberapa tahun lalu sebelum perbuatan itu terbongkar apabila mangsa menceritakannya kepada ibu saudaranya pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata suspek ditahan tengah hari tadi di sebuah kampung di Kalabakan berdasarkan laporan polis yang dibuat ibu saudara mangsa sebelum ini.

Katanya, mangsa yang berusia 15 tahun menceritakan perbuatan bapa tirinya itu kepada ibu saudaranya selepas mendapatkan rawatan di Hospital Tawau kerana sakit perut pada Selasa lalu.

“Mangsa menceritakan perbuatan terkutuk itu kepada ibu saudaranya selepas pihak hospital memaklumkan tahap kesihatan mangsa kepadanya.

“Berdasarkan siasatan awal, perbuatan tersebut berlaku sejak mangsa berusia 11 tahun sehingga yang terbaru pada bulan lalu di rumahnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, katanya sepasukan polis dari Balai Polis Kalabakan yang diketuai oleh Ketua Polis Balai Kalabakan memberkas seorang lelaki warga asing pada jam 12.30 tengah hari tadi.

“Suspek berusia 35 tahun itu ditahan kerana dipercayai terbabit dengan kes berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

“Siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959,” katanya.

Sementara itu, Jasmin meminta orang ramai memainkan peranan dan melaporkan sebarang tanda-tanda penderaan seksual bagi melindungi golongan yang lemah, terutama kanak-kanak dan remaja, daripada menjadi mangsa keganasan seksual. – Info X