KOTA KINABALU: Pasukan bomba berjaya menyelamatkan 19 mangsa dari lima keluarga yang terjejas akibat banjir kilat di dua lokasi di daerah ini, petang tadi.
Seramai 15 mangsa dari tiga keluarga diselamatkan di Taman Kolombong, Lorong Pic 3, manakala empat mangsa dari dua keluarga di Kampung Bambangan, Inanam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Penguasa Bomba, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian banjir kilat itu pada jam 3.24 petang.
“Setiba pasukan bomba di tempat kejadian di Kampung Bambangan, terdapat dua keluarga terperangkap banjir. Rumah pertama pasukan bomba berjaya mengeluarkan dua mangsa.
“Rumah kedua pasukan bomba turut berjaya mengeluarkan dua mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, operasi menyelamat mangsa terperangkap diteruskan di Taman Kolombong membabitkan tiga keluarga.
“Pasukan bomba memulakan operasi menyelamat semua mangsa terperangkap banjir menggunakan jaket keselamatan dan sampan.
“Rumah pertama membabitkan tujuh mangsa manakala rumah kedua terdapat tiga mangsa dan rumah ketiga menyelamat lima mangsa.
“Semua mangsa kemudian ditempatkan di rumah keluarga terdekat,” katanya.
Terdahulu, hujan lebat sejak 12 tengah hari tadi menyebabkan beberapa kawasan di sekitar daerah ini dan Penampang dilanda banjir kilat. – Info X