Search

KSTI diarah pantau projek menara telekomunikasi di bawah JENDELA

December 2, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi negeri (KSTI) diarah memantau secara dekat projek pemasangan menara telekomunikasi di bawah fasa dua Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang akan dilaksanakan mulai tahun depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata perkara itu perlu diberi perhatian memandangkan pencapain projek fasa satu yang dilaksanakan sebelum ini tidak mencapai tahap yang memuaskan.

“Fasa dua projek JENDELA akan bermula tahun depan tetapi pencapaian kontraktor masih banyak yang perlu diperbaiki,” katanya selepas lawatan kerja ke KSTI di Wisma Bandaraya, di sini, hari ini.

Ketua Menteri sebelum itu diberi taklimat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai pencapaian projek JENDELA Fasa Satu yang kini hanya siap 57 peratus.

Ia berikutan hanya 217 menara siap dibina daripada 382 menara yang diluluskan pembinaannya di seluruh Sabah menerusi fasa satu projek JENDELA, setakat ini.

Daripada 217 menara yang siap itu pula, hanya 63 peratus yang berfungsi sepenuhnya, manakala selebihnya belum dapat berfungsi.

Sehubungan itu, Hajiji meminta KSTI dan SKMM supaya memastikan pelaksanaan kerja projek itu disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

Hajiji mendengar taklimat ketika lawatan kerja di KSTI Sabah.

Beliau memberi amaran bahawa kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan jika tiada penambahbaikan terhadap pencapaian projek itu.

Sementara itu, Hajiji turut diberi taklimat mengenai usaha mengurangkan kadar pengangguran di Sabah menerusi penempatan kerja berasaskan latihan.

Taklimat disampaikan Setiausaha Tetap KSTI, Datuk Hanafiah Mohd Kassim itu turut menekankan usaha KSTI menarik lebih ramai pelajar menceburi bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Sejajar dengan itu, Hajiji meminta KSTI memberi tumpuan terhadap STEM sejajar permintaan terhadap lulusan dalam bidang berkenaan untuk memenuhi keperluan Revolusi Industri Keempat (IR 4.0).

“Kita tidak mahu ketinggalan, jadi kementerian perlu memainkan peranan sebagai penyokong utama sains dan teknologi negeri,” katanya.

Hadir sama pada lawatan kerja Ketua Menteri itu ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd Ariffin Arif; Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun; Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Jahid Jahim dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong. – Info X