Search

Masidi tampil sendiri beri keterangan kepada SPRM

December 3, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Datuk Seri Masidi Manjun, malam ini tampil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung video dakwaan skandal rasuah yang dikaitkan dengan beliau.

Menerusi kenyataan terbaharunya malam ini, Masidi berkata, beliau datang sendiri ke pejabat SPRM Kota Kinabalu pada jam 8 malam tadi untuk memberi keterangan kepada agensi penguatkuasa itu.

“Saya ingin memaklumkan bahawa saya secara sukarela dan tanpa dipanggil oleh pihak SPRM telah memberi keterangan berkenaan video yang tular hari ini di pejabat SPRM Kota Kinabalu pada jam 8 malam.

“Sepertimana yang saya telah maklumkan sebelum ini, saya akan
memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak-pihak yang berwajib
untuk menyiasat isu ini.

“Kunjungan saya ke Pejabat SPRM malam ini adalah untuk membantu siasatan dan tanda sokongan saya kepada usaha SPRM membanteras rasuah di negeri ini,” katanya.

Dalam kenyataannya petang tadi, Masidi mendakwa video memaparkan perbualannya dengan seorang individu berhubung dana RM300,000 yang dikaitkan dengannya sudah disunting.

Beliau yang merujuk kepada video terbaharu berkaitan dakwaan skandal rasuah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang didedahkan sebuah portal berita hari ini, turut berkata tidak ingat perbualannya ketika video itu dirakam. – Info X