KOTA KINABALU: Anak merantau di Korea Selatan mengadu sakit melalui panggilan telefon dan memaklumkan ibunya mahu pulang ke kampung tetapi yang kembali hanyalah jenazahnya.
Situasi pilu itu meruntun jiwa Sapina Hasan, 64, ketika menyambut ‘kepulangan’ anaknya, Hanalin Datu Harun, 39, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, hari ini.
“Mak…Sakit aku ini mak….Mahu pulang sudah aku ini mak. Itulah perbualan terakhir bersama Nalin (Hanalin) ketika dia menghubungi saya melalui panggilan telefon pasa 21 November lalu.
“Tidak sangka maksud Nalin mahu pulang itu adalah jenazahnya,” kata Sapina ditemui ketika menuntut jenazah anaknya di Maskargo, KKIA, tengah hari tadi.
Difahamkan, Allahyarham Hanalin meninggal dunia di sebuah hospital di Korea Selatan pada 24 November lalu akibat masalah gastrik.

Sapina berkata, anak kelimanya itu adalah seorang yang ceria, disenangi keluarga dan rakan-rakan selain ringan tulang.
Katanya, walaupun terkejut dengan pemergian anak perempuannya itu namun dia reda dengan kematian Hanalin dan bersyukur urusan membawa pulang jenazahnya dipermudahkan dan menerima bantuan pelbagai pihak termasuk kerajaan.
Sementara itu, kakak sulung arwah, Monalisa Datu Harun, 45, berkata, allahyarhamah Hanalin diibaratkan penyeri dalam keluarga mereka.
“Saya antara adik-beradik yang rapat dengan arwah malah sehari sebelum Nalin dimaklumkan meninggal dunia, kami ada membuat panggilan video bersama anak sulung saya yang berada di Melaka.
“Sebab itu saya pada awalnya seolah-olah tidak boleh menerima berita kematian arwah dari adik bongsu yang turut berada di Korea Selatan kerana baru sahaja berhubung.
“Bagaimanapun, sebagai anak sulung saya sedar harus kuat untuk ibu dan adik-adik lain,” katanya sebak.
Monalisa berkata, adiknya itu memang mempunyai masalah gastrik tetapi dalam keadaan terkawal sebelum ini.
Namun, katanya selama lebih empat bulan di Korea Selatan, arwah Hanali memberitahunya dia agak kurang serasi dengan makanan di negara berkenaan.
“Nalin lebih sanggup beli makanan segera berbanding makan juadah Korea yang disifatkannya pedas.
“Tidak sangka sakit gastrik dialami Nalin semakin teruk sehingga menjadi punca kematian,” katanya.
Jenazah Hanalin diterbangkan dari Incheon, Korea Selatan pada jam 11 pagi semalam menggunakan penerbangan Malaysia Airline (MAS) sebelum tiba di perkarangan Maskargo, KKIA pada jam 12.50 tengah hari tadi.
Ketibaan jenazah disambut ahli keluarga dan kenalan rapat sebelum dibawa ke Masjid Hikmah Kampung Tengah Pekan Kinarut untuk disembahyangkan dan kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Belud Sadok, Kinarut. – Info X