Search

‘STAR tetap sokong Hajiji’ – Ardino Diris

December 7, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menegaskan pendirian menyokong penuh kepemimpinan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.

Timbalan Ketua Penerangan STAR, Ardino Diris, berkata ketika Sabah memerlukan kestabilan dan perpaduan, sebarang usaha untuk menggugat keutuhan kerajaan GRS adalah tidak bertanggungjawab dan hanya merugikan rakyat.

Katanya, desakan untuk Hajiji meletakkan jawatan adalah bermotif politik selain mengalihkan fokus kerajaan daripada membawa kemajuan serta menjaga hak Sabah, termasuk isu penting seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kami menggesa UMNO agar tidak menjadi ‘tangan ghaib’ yang mencampuri hal ehwal politik Sabah. Sabah adalah negeri yang berdaulat dengan hak untuk menentukan hala tujunya sendiri.

“Sebarang campur tangan hanya akan mencetuskan ketidakstabilan politik dan merosakkan kemajuan yang telah kita capai bersama,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Pemimpin UMNO sebelum ini menggesa Hajiji meletak jawatan berikutan penyebaran video temubual ADUN kerajaan yang didakwa berbaur rasuah.

Selain itu, Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, dicadang sebagai Ketua Menteri Interim bagi menggantikan Hajiji yang didakwa berdepan isu integriti.

Ardino berkata, Ketua Menteri telah membuktikan kepimpinan yang teguh dan inklusif serta membawa kestabilan yang amat diperlukan kepada Sabah.

Jelashya, cubaan untuk menimbulkan perpecahan dalam GRS hanya akan melemahkan usaha memajukan negeri ini.

“STAR Sabah mengutuk sekeras-kerasnya mana-mana pihak yang cuba menggugat perpaduan dan kestabilan kerajaan.

“Kami menyeru semua pihak dalam GRS untuk terus bersatu dan fokus pada tanggungjawab terhadap rakyat Sabah.

“STAR Sabah akan terus berdiri teguh bersama YAB Datuk Seri Hajiji Noor demi kestabilan, kemajuan dan masa depan Sabah yang lebih baik,” katanya. – Info X