KOTA KINABALU: Sebanyak 17 projek persekutuan yang dilaksanakan di Sabah dikenal pasti sakit, manakala sebanyak 420 projek lagi masih dalam peringkat pra pelaksanaan atau belum bermula.
Mendedahkan perkara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata berikutan itu tumpuan ketika ini adalah untuk memastikan 420 projek terbabit dapat dimulakan secepat mungkin.
Bagaimanapun, katanya daripada 420 projek itu, sudah ada projek yang bermula tetapi lambat dilaporkan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).
“Projek sakit di Sabah tidak banyak, hanya 17 projek saja, tapi projek dalam peringkat pra pelaksanaan itu banyak, ada lebih kurang 420 dan itu yang kita nak fokuskan.
“Tapi daripada 420 itu, ada sudah yang bermula, masalah cuma lambat kemas kini laporan di ICU kerana ia dimasukkan dalam program pra pelaksanaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Siap Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) kepada Kerajaan Sabah, di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan.
Fadillah yang juga Menteri PETRA ditanya mengenai projek persekutuan yang dikenal pasti bermasalah di Sabah.
Katanya, mesyuarat penyelarasan projek persekutuan di Sabah hari ini dapat mengenal pasti sebahagian daripada 420 projek dalam senarai pelaksanaan itu sudah bermula.
“Ada yang masih dalam proses tender, ada yang baru dikeluarkan Surat Setuju Terima (SST) dan ada yang masih dalam penilaian dan sebagainya.
“Jadi, kita berharap pada tahun depan, projek itu dapat dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, Fadillah berkata bagi projek persekutuan yang bermasalah di Sabah, kebanyakannya membabitkan pembinaan kemudahan asas termasuk bekalan air dan jalan raya luar bandar serta sekolah.
Katanya, masalah itu boleh diselesaikan, namun masalah berpunca daripada kontraktor yang tidak dapat menyelamatkan projek, selain ada kes kontraktor penyelamat yang dilantik juga gagal menyiapkan projek terbabit.
“Ia salah satu masalah yang kita hadapi. Masalah kedua, apabila projek tidak siap dan bila nak tambah masa (EOT) dan lantikan kontraktor baharu, ia melibatkan kos tambahan.
“Jadi, kos tambahan menyebabkan bajet tidak cukup, jadi kita kena minta notis dari Kementerian Ekonomi untuk cari peruntukan, jadi ini akan memakan masa dan cabaran melaksanakan projek.
“Sebab itu tahun depan, kita mahu pastikan seminimum mungkin kelewatan projek, jika lewat kos tambahan akan berlaku,” katanya.
Katanya, masalah pelaksanaan projek juga disebabkan isu tanah dan tapak yang tidak sesuai menyebabkan tapak baharu perlu dicari semula bagi melaksanakannya.
Fadillah berkata, sebagai langkah mempercepatkan pelaksanaan projek, kaedah ‘pre-approved plan’ yang dibangunkan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan kongsikan kepada JKR Sabah untuk dilaksanakan di negeri ini. – Info X