Search

‘Kita faham permainan mereka’ – Jeffrey

December 8, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Datuk Dr Jeffrey Kitingan menyifatkan gesaan pemimpin UMNO Sabah untuk meminta Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor meletak jawatan sebagai tidak adil, selain satu permainan politik.

Timbalan Pengerusi GRS itu berkata gesaan pemimpin lawan itu tidak wajar memandangkan tiada sebarang pertuduhan atau kes mahkamah yang dihadapi Hajiji yang juga Pengerusi GRS.

Jelasnya, tindakan mengaitkan gesaan itu dengan klip video dakwaan skandal rasuah beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari GRS yang ditularkan melalui sebuah portal berita sebelum ini adalah permainan politik untuk melemahkan GRS.

Beliau berkata, lebih ketara apabila beliau turut diheret dalam perkara itu, apabila namanya dicadang sebagai Ketua Menteri Interim bagi menggantikan Hajiji yang didakwa berdepan isu integriti selepas penyebaran klip video terbabit.

“Pertama sekali, saya rasa tidak adil dan tidak sepatutnya meminta Ketua Menteri letak jawatan kerana apa kesalahan dia? Dia tiada kena dakwa, dia tiada masuk mahkamah.

“Mereka hanya berasaskan video yang saya ingat sudah menjadi permainan mereka dan disengajakan untuk mencemarkan imej pemimpin kita.

“Kedua, buat apa mereka tarik (heret) nama saya sekali kalau bukan untuk memecah-belah dan untuk memporak-perandakan pimpinan kita dalam GRS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melancarkan Pemuda GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Jeffrey bersama pemimpin dan pemuda GRS pada pelancaran Pemuda GRS di SICC.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun; presiden parti komponen GRS dan Ketua Pemuda GRS, Datuk Jonnybone J Kurum.

Sebelum ini, Bendahari Pemuda UMNO, Mohd Kurniawan Naim Moktar, berkata Hajiji sewajarnya meletakkan jawatan secara bermaruah setelah mengalami krisis integriti, reputasi dan kredibiliti.

Sebagai ganti, katanya Jeffrey wajar dilantik sebagai Ketua Menteri Interim kerana memiliki kredibiliti, integriti dan reputasi yang positif untuk mengetuai pentadbiran negeri.

Mengulas lanjut, Jeffrey berkata beliau memahami permainan politik yang cuba dilakukan parti lawan terhadap GRS dalam usaha mereka untuk melemahkan gabungan berkenaan dan kepemimpinan kerajaan negeri.

Jeffrey yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), juga menyifatkan serangan terhadap pemimpin GRS adalah usaha terdesak pihak lawan yang mahukan Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) dipercepatkan.

“Tempoh kita belum habis lagi, belum selesai lagi, tapi ada pihak tertentu mahu PRN cepat, mahu ganti kerajaan cepat dan sebab itu mereka sudah mula menyerang kita, pecah-belah kita dengan taktik lama, bukan kita tidak tahu.

“Kita faham permainan mereka, pertama dia cari cara pecah-belah kita, cari kesalahan kita dan cuba pancing kita seperti video yang ditularkan baru-baru ini,” katanya. – Info X