SEMPORNA: Seorang pemandu sempat menyelamatkan diri selepas kereta dipandu terbabas lalu terbakar dalam kejadian di Jalan Kem Sri Wangsa, di sini, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Penolong Penguasa Bomba, Madzlan Sarman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.03.
Katanya, seramai tujuh anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak lima kilometer dari balai bomba.
“Setiba di lokasi, kebakaran membabitkan sebuah kereta jenis Proton Saga FLX terbakar sepenuhnya.

“Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran dengan sumber air dari jentera bomba,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pemandu selamat dan operasi ditamatkan pada jam 5.50 pagi. – Info X