Search

Bohonglah kalau parti, pemimpin politik tidak terima dana politik – Hajiji

December 15, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, adalah ‘bohong’ sekiranya setiap parti atau pemimpin politik tidak menerima dana politik daripada penyumbang-penyumbang yang berkemampuan.

Dalam satu klip video di TikTok yang tersebar luas, Hajiji berkata, dana politik adalah tidak salah di dalam negara ini dan juga di negara-negara lain.

Beliau juga menegaskan bahawa Adun pentadbirannya tidak pernah meminta rasuah.

“Tetapi bohonglah kalau setiap parti politik atau pemimpin politik tidak menerima dana politik daripada penyumbang-penyumbang. Saya telah nyatakan kepada yang berhormat perdana menteri mengenai perkara ini pada minggu lepas.

“Semua tahu dana politik adalah tidak salah di dalam negara kita dan juga di negara-negara lain pun. Macam mana parti politik boleh bergerak kalau tidak sumbangan dana politik daripada mereka yang berkemampuan.

“Kalau harap wakil rakyat saja punya gaji, macam mana kita hidup. Makan pun tidak cukup,” katanya.

Dalam video itu, Hajiji juga mendakwa bahawa video yang mengaitkan beberapa ADUN kerajaan dengan rasuah adalah sebahagian daripada kempen yang dirancang untuk menjatuhkan pentadbirannya.

Ketua menteri itu mendakwa, klip video berkenaan adalah sebahagian daripada kempen untuk menyebarkan pembohongan dan fitnah. – Info X