Search

Hobi kad permainan isi masa terluang, pupuk pemikiran kritikal, interaksi sosial belia

December 15, 2024

Info X Reporters

PENAMPANG: Sekumpulan peminat aktiviti kad permainan, di sini, menjadikan aktiviti santai bertemakan ‘Hobi Sihat’ sebagai acara untuk berkumpul sambil menguji kemahiran bermain dan memanfaatkan masa yang terluang.

Meskipun hanya sebagai hobi, bermain kad permainan bersama rakan yang mempunyai minat sama berupaya memupuk pemikiran kritikal, meningkatkan interaksi sosial dan melahirkan suasana positif serta sihat dalam kalangan belia.

Penganjur aktiviti itu, Ericson Lotidis, berkata lebih menarik pertandingan berasaskan hobi itu berupaya memberi peluang kepada peserta dari pelbagai lapisan masyarakat bermula seawal usia kanak-kanak hingga golongan dewasa untuk berinteraksi melalui program itu.

Peserta kad permainan menggunakan daya kreatif masing-masing bagi memenangi pertandingan.

“Dengan hadiah wang tunai bernilai RM1,000 kepada pemenang berserta hadiah tambahan seperti pelbagai produk pemainan, piala, t-shirt dan cenderamata yang dianggarkan mencecah sehingga RM5,000, sudah tentu ia sesuatu yang menarik kepada penggemar permainan hobi ini.

“Matlamat utamanya adalah memberi sumbangan kembali kepada komuniti melalui aktiviti yang bermanfaat dan memperkukuh jaringan kerjasama dalam kalangan masyarakat setempat.

Eric menyampaikan hadiah RM1,000 kepada pemenang acara santai Hobi Sihat kad permainan.

“Apa yang penting ialah ia menyediakan aktiviti untuk meluangkan masa yang membawa faedah kepada kehidupan masa kini,” katanya mengulas penganjuran aktiviti santai itu yang diadakan pada Sabtu.

Eric berkata, aktiviti santai itu turut menyediakan acara menarik lain kepada orang ramai, antaranya peluang untuk belajar asas bermain kad permainan ‘Magic: The Gathering’ (MTG) secara interaktif.

“Acara ini diharapkan dapat diketahui dengan lebih luas dalam masyarakat tempatan.

Eric (tengah) bersama Sabah Trading Card Game Enthusiast Association (SIREN).

“Kita juga bercadang program ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang, selaras dengan usaha untuk mempelbagaikan lagi aktiviti komuniti.

“Dengan kejayaan acara kali ini, kita turut berharap dapat meneruskan lagi untuk memperkasakan komuniti MTG melalui program yang sihat, menyeronokkan dan bermanfaat,” katanya.

Acara itu dianjurkan oleh Restaurant 916 dengan disokong syarikat permainan terkenal, Animart Hobby Creatives Sdn Bhd, Pusat Tuisyen Skor A dan Sabah Trading Card Game Enthusiast Association (SIREN). – Info X