Search

80 mangsa banjir dipindahkan di Beaufort

December 15, 2024

Info X Reporters

BEAUFORT: Seramai 80 mangsa banjir dari 26 keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Kekal (PPK) susulan banjir yang berlaku di Kampung Suasa, di sini, hari.

Pegawai Daerah Beaufort, Mohd Nazri Ajun berkata, pemindahan mangsa terdiri daripada 11 lelaki dewasa, 25 wanita dewasa, 40 kanak-kanak lelaki dan perempuan serta empat bayi.

Katanya, pusat pemindahan dibuka kira-kira jam 4 petang tadi.

“Semua mangsa dipindahkan menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan lori dari lokasi banjir di Kampung Suasa ke PPK Selagon.

Mangsa banjir di Kampung Suasa dipindahkan ke PPK Selagon, Beaufort.

“Pemindahan semua mangsa selesai dilakukan dengan jayanya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi pemindahan dijalankan oleh pasukan penyelamat terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort.

“Selain itu, pemindahan mangsa banjir turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Jabatan Kebajikan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Operasi ditangguhkan jam 9 malam tadi,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, hujan lebat pada 11 Disember lalu di beberapa daerah iaitu Nabawan, Tenom, Sipitang dan Beaufort menyebabkan berlaku kenaikan paras air Sungai Padas.

“Ini menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air termasuk Kampung Suasa.

“Paras Air Sungai Padas, Beaufort kira-kira jam 8 malam ini berada di paras bahaya,” katanya. – Info X