KOTA KINABALU: Satu gempa bumi lemah berukuran 2.8 skala Richter dikesan berlaku di Ranau pada jam 2.56 petang tadi.
Berdasarkan kenyataan dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MET Malaysia), gegaran dikesan berpusat di 5.97 darjah utara dan 116.57 darjah timur dengan kedalaman 10 kilometer.
Lokasi gempa bumi itu, katanya terletak 15 kilometer di barat Ranau.
“Gegaran dirasai di sekitar Ranau. Jabatan Meteorologi Malaysia akan terus memantau keadaan ini.
“Mohon tuan/puan yang merasai gegaran akibat gempa bumi ini dapat mengisi borang soalselidik di pautan ini https://forms.gle/Hz8HpgTRtioo4q5T9,” kata kenyataan itu.
MET Malaysia berkata, tiada ancaman tsunami kepada Malaysia akibat gempa bumi itu.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba Ridwan Mohd Taib ketika dihubungi berkata setakat ini tiada sebarang kejadian dikaitkan dengan kesan gempa bumi dilaporkan kepada jabatan itu.
“Setakat ini bomba tidak menerima sebarang panggilan kecemasan berkaitan gempa bumi daripada orang awam,” katanya. – Info X