Search

PPN Sabah alu-alukan pelantikan Musa sebagai TYT

December 17, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah mengalu-alukan pelantikan Tun Musa Aman sebagai Tuan Yang Terutama (YTY) Yang di-Pertua Negeri Sabah berdasarkan sumbangannya dalam pembangunan negeri, sebelum ini.

Pengerusi PPN Sabah, Datuk Mohd Nazri Abdullah, berkata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga itu mempunyai jasa yang besar dalam membangunkan negeri ini selama menjadi Ketua Menteri.

“Semasa beliau menyandang jawatan itu dan Menteri Kewangan negeri, rizab Sabah dilihat bertambah dengan begitu ketara.

“Selain itu pendapatan negeri juga terus meningkat dari tahun ke tahun semasa Musa menerajui kepimpinan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Tun Musa sebagai TYT Yang Di-Pertua Negeri Sabah yang baharu, bermula 1 Januari 2025.

Istiadat pengurniaan itu yang berlangsung di Singgahsana Kecil, Istana Negara, Kuala Lumpur turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Mohd Nazri berkata, beliau mengenali Musa sebagai rakan sekampung dan berkeyakinan Sabah akan terus makmur sepanjang menjadi TYT nanti.

“Sebagai rakan sekampung yang sama-sama dari daerah Beaufort serta sejarah hubungan kenalan yang baik di antara arwah bapa Musa dengan arwah bapa saya, tentu sekali atas sandaran itu saya mempunyai keyakinan Sabah akan terus makmur di bawah naungan Musa selaku Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baharu,” katanya. – Info X