TAWAU: Seorang wanita cemas apabila anak saudaranya berusia setahun lapan bulan terperangkap dalam sebuah kereta di Kampung Airport Lama, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, kanak-kanak perempuan terbabit dilaporkan terkunci di dalam kereta, sebelum laporan di buat melalui panggilan kecemasan MERS999.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.49 pagi.
Katanya, seramai enam anggota dan pegawai bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati seorang kanak-kanak perempuan terkunci di dalam kereta ibu saudaranya yang parkir di kawasan rumah mereka.
“Pasukan bomba mengambil masa kira-kira lima minit untuk membuka pintu kereta dengan menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, kanak-kanak itu berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dan tidak mengalami sebarang kecederaan, sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya.
“Selepas memastikan tiada bahaya lain yang wujud, pasukan bomba menamatkan operasi pada jam 7.05 pagi,” katanya. – Info X