Search

Sabah perlukan perhatian infrastruktur asas, utiliti

December 19, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah memerlukan perhatian khusus dalam pengukuhan infrastruktur asas dan utiliti.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, menekankan ia adalah aspek pembangunan yang kritikal perlu diutamakan di negeri ini.

Berikutan itu, beliau mahu kerajaan Persekutuan memberi keutamaan kepada perkara itu dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13).

“Penyediaan utiliti asas seperti bekalan air bersih dan elektrik yang lengkap, terutama di luar bandar adalah aspek penting dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat, selain merangsang pelbagai aktiviti seperti pertumbuhan ekonomi dan pelaburan.

“Ini penting bagi mencipta persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan sosio ekonomi yang mampan di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Sesi Libat Urus RMKe-13 Negeri Sabah Peringkat Persekutuan Bersama Kementerian Ekonomi, di sini, pada Khamis.

Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya negeri, Datuk lr Shahelmey Yahya.

Hadir sama Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Hajiji berkata, jurang pembangunan yang signifikan antara bandar dan luar bandar di Sabah menjadi cabaran yang perlu diatasi secara kolektif.

“Kerajaan negeri percaya bahawa pembangunan yang seimbang adalah kunci kepada kesejahteraan masyarakat.

“Ini seiring dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memastikan setiap rakyat, tanpa mengira lokasi geografi, dapat menikmati manfaat daripada pembangunan yang dilaksanakan,” katanya.

Sehubungan itu, Ketua Menteri berharap inisiatif kerajaan Persekutuan untuk merapatkan jurang pembangunan antara wilayah dan memperkukuhkan pembangunan sosio ekonomi di Sabah, seperti dilaksanakan dalam RMKe-12, dapat diterus dan diperkasakan lagi melalui RMKe-13.

“Dengan kerjasama berterusan di antara kerajaan Persekutusan dan negeri dalam merealisasikan usaha ini, saya yakin kita mampu menyediakan peluang yang setara kepada semua rakyat Sabah untuk menikmati kemajuan dan kesejahteraan yang lebih baik,” katanya. – Info X