KOTA KINABALU: Sabah menjadi penyumbang keenam terbesar kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) nasional dengan nilai sebanyak RM83.2 billion atau 5.3 peratus daripada keseluruhan KDNK negara pada 2023.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata dengan potensi ekonomi yang luas dan sumber daya yang tersedia, Sabah mempunyai kapasiti untuk meningkatkan lagi prestasi ekonomi negeri dan mampu memberi sumbangan yang lebih signifikan kepada KDNK nasional.
Justeru itu katanya, bagi memperkasa ekonomi negeri, tumpuan utama kerajaan kini adalah untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi perkembangan sektor perniagaan dan pelaburan serta memacu aktiviti ekonomi berimpak tinggi.
“Dalam usaha mencapai matlamat ini, penekanan diberikan bagi membangunkan lebih banyak aktiviti hiliran dalam industri utama, termasuk biojisim, kelapa sawit serta minyak dan gas.
“Dengan menggalakkan pengembangan sektor-sektor ini, Sabah berpotensi untuk mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyatnya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan Sesi Libat Urus RMKe-13 Negeri Sabah Peringkat Persekutuan Bersama Kementerian Ekonomi, di sini, pada Khamis.
Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya negeri, Datuk lr Shahelmey Yahya.
Hadir sama Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Hajiji betkata, dalam konteks penyediaan inisiatif dan projek pembangunan di bawah RMKe-13, beliau amat berharap agar kementerian, jabatan dan agensi negeri dapat dilibatkan secara lebih proaktif, bermula seawal fasa perancangan projek.
“Dengan penglibatan awal ini, kita dapat memastikan pelaksanaan projek yang benar-benar memenuhi keperluan negeri dapat diberi keutamaan.
“Selain itu, kolaborasi bersama agensi negeri dalam menentukan projek pembangunan di bawah pembiayaan Persekutuan juga dapat meningkatkan potensi kebolehlaksanaan projek kerana isu-isu seperti ketersediaan tapak dan utiliti serta cadangan intervensi yang sesuai dapat dikenal pasti di peringkat awal.
“Dengan penyelarasan bersama, kita dapat memastikan setiap projek pembangunan yang dilaksanakan di Sabah berjalan dengan lancar dan mencapai matlamat yang ditetapkan,” katanya. – Info X