KOTA KINABALU: Kerjasama sedia ada di antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan Pakatan Harapan (PH) yang terjalin selepas kemelut politik Sabah pada awal tahun lalu menjadi asas penting untuk kedua-dua gabungan bekerjasama pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Perkara itu diakui pemimpin GRS termasuk pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang menjadi antara lapan parti tempatan membentuk GRS pada hari ini.
Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Datuk Fairuz Renddan, berkata Gagasan Rakyat dan GRS keseluruhannya tidak menghadapi masalah jika parti itu bersama rakan komponen dalam GRS bekerjasama dengan PH Sabah pada PRN17.
Katanya, setakat ini kerjasama di antara kedua-dua gabungan itu kekal baik dan boleh bergerak bersama pada PRN17 akan datang yang dijangka diadakan sebelum Oktober tahun depan.
“Setakat ini kerjasama kita, khususnya pemuda dengan komponen dalam Pemuda GRS, alhamdulillah tiada masalah. Begitu juga kerjasama dengan parti komponen PH seperti PKR, DAP dan AMANAH tiada masalah, kita boleh bergerak bersama.
“Kita sudah mengadakan beberapa siri perjumpaan dan alhamdulillah semua saya lihat kehendak pemimpin-pemimpin muda itu sama untuk negeri ini,” katanya ditemui selepas Mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat Pusat, di sini, hari ini.
Beliau ditanya mengenai tahap kerjasama dengan pergerakan pemuda dalam komponen GRS dan PH Sabah.
Sementara itu, Fairuz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, berkata sayap pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat sudah bersedia untuk ‘berperang’ pada PRN17.
Beliau berkata, sebuah jawatankuasa PRN ditubuhkan oleh Pemuda Gagasan Rakyat sebagai satu gerak kerja untuk menghadapi PRN17.
“Jadi hari ini kita sudah tubuhkan jawatankuasa untuk menghadapi PRN dan insyaAllah Pemuda Gagasan Rakyat siap sedia bertempur pada PRN akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Fairuz turut menyatakan antara fokus Pemuda Gagasan Rakyat adalah untuk terus menyantuni golongan belia di kawasan bandar dan luar bandar.
“Sudah pastinya Pemuda akan fokus kepada golongan belia di kawasan bandar dan juga luar bandar.
“Jadi kita akan cuba aktifkan program untuk belia dan menyantuni mereka di setiap pelusuk negeri dan banyak program yang kita sudah rancang bagi mendekati belia yang ada di negeri ini,” katanya. – Info X