Search

APMM bantu warga emas dapatkan rawatan mata ke HDOK

December 22, 2024

Info X Reporters

SANDAKAN: Bot Halilintar 4 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Sandakan melaksanakan misi bantuan terhadap seorang wanita warga emas yang memerlukan rawatan segera dari Kampung Tundun, Bohangin, Kinabatangan, semalam.

Pesakit Saripah Abdul Karim, 73, yang mengalami kecederaan serius pada mata selain mempunyai penyakit kronik dibawa ke Hospital Duchess Of Kent (HDOK) bagi mendapatkan bantuan perubatan dan tindakan susulan.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, Pusat Operasi (PUSOP) Zon Maritim Sandakan menerima aduan pada jam 9.20 pagi dan memaklumkan kepada Maritim Rescue Sub Center (MRSC) Kota Kinabalu seterusnya melaksanakan bantuan berkenaan.

“Pesakit Saripah telah dibawa menaiki Bot Halilintar 4 dari Jeti Kampung Tundun, Bohangin, Kinabatangan ke Jeti Zon Maritim Sandakan dengan anggaran jarak hampir 45 batu nautika.

“Walaupun dalam keadaan cuaca buruk serta laut bergelora, Saripah yang diiringi dua anaknya selamat tiba di Jeti Zon Maritim Sandakan, jam 11.35 pagi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Anggota APMM menghantar pesakit warga emas untuk menerima rawatan lanjut di Hospital Duchess Of Kent di Sandakan. – Foto/APMM

Menurutnya, seterusnya Saripah dibawa ke HDOK bagi menerima rawatan lanjut.

Sementara itu, Suhairy turut mengingatkan komuniti maritim supaya mematuhi langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil ketika berada di laut.

“Seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik, membawa Personal Locator Beacon (PLB), maklumkan destinasi kepada ahli keluarga, membawa bekalan makanan secukupnya serta mengelakkan aktiviti di luar kawasan liputan telekomunikasi.

“Orang awam juga diminta agar melaporkan sebarang kejadian kecemasan dan kemalangan di laut ke Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau ke talian kecemasan 999,” katanya. – Info X