Search

Pelaburan berimpak tinggi di SOGIP dijangka beroperasi pada 2026 – 2027

December 28, 2024

Info X Reporters

SIPITANG: Pelaburan berimpak tinggi di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), di sini, dijangka mula beroperasi pada 2026 dan 2027.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata antara pelaburan itu ialah syarikat Esteel untuk kilang keluli hijau (Green Steel) dengan pelaburan berfasa sebanyak RM20 bilion.

Satu lagi, katanya ialah pembangunan kemudahan Gas Asli Cecair (LNG) Terapung oleh PETRONAS dengan nilai pelaburan RM8.8 bilion.

Beliau berkata, pelaburan lain ialah dari Syarikat E-Concern Sdn Bhd dalam pengurusan sisa bernilai RM1 bilion dan Tex Evolosi Waste Management Sdn Bhd dengan nilai pelaburan RM70 juta.

“Semua syarikat yang saya sebut itu akan mula beroperasi pada 2026 dan 2027. Semua pelaburan ini akan mencipta peluang pekerjaan seawal fasa pembinaan dan semasa beroperasi.

“Sudah tentu penduduk Sipitang dan sekitarnya akan mendapat limpahan dalam pelbagai sektor ekonomi.

“Saya penuh yakin dengan gabungan pemimpin politik, jentera kerajaan serta rakyat di Sipitang, kita akan melakar lebih banyak pembangunan dan kejayaan di daerah ini,” katanya.

Arifin mewakili Ketua Menteri pada Karnival Kesenian, Kebudayaan, Pelancongan dan Makanan Tradisi Sempena Pesta Makan Tahun Kadayan Sabah 2024 di Sipitang.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Karnival Kesenian, Kebudayaan, Pelancongan dan Makanan Tradisi Sempena Pesta Makan Tahun Kadayan Sabah 2024 di Padang Top Ten, dekat sini, pada Sabtu.

Ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Hajiji berkata, pelabur asing dan domestik kekal yakin dan percaya terhadap pentadbiran negeri yang mempunyai hala tuju jelas.

Keyakinan itu katanya diterjemahkan melalui pelaburan bernilai RM1.7 billion pada tahun ini.

Selain itu, beliau juga mahu industri pelancongan di Sipitang diperkasakan lagi untuk menjana manfaat ekonomi dan pekerjaan.

Katanya, ia bersesuaian dengan kedudukan daerah ini yang amat strategik dan berhampiran dengan beberapa negara jiran seperti Brunei dan Kalimantan selain Sarawak dan Labuan.

Malah, katanya Sipitang yang cukup terkenal dengan satenya adalah laluan masuk utama pelancong dari Brunei dan Sarawak menggunakan jalan darat.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong perayaan tradisi seperti Adat M Makan Tahun Etnik Kadayan dan mahu ia terus diadakan secara konsisten setiap tahun sebagai platform memupuk perpaduan pelbagai etnik di negeri ini.

Arifin bersama pemimpin dari Sipitang melihat pameran makanan tradisi.

Katanya, pemeliharaan budaya amat penting bukan saja untuk mempertahankan identiti bangsa, juga sebagai asas kepada perpaduan dan keharmonian masyarakat.

“Di Sabah, kita berbangga dengan kepelbagaian budaya yang ada lebih daripada 35 etnik dan 217 sub-etnik, menjadikan negeri ini unik dan kaya dengan pelbagai tradisi serta adat resam.

“Bagi terus memartabatkan khazanah budaya dan warisan etnik negeri ini, sebanyak RM13.66 juta diperuntukkan pada tahun depan.

“Ini untuk memastikan warisan budaya dan kesenian negeri ini terus kekal dan terpelihara. Selain untuk merancakkan lagi sektor pelancongan, ia juga bagi memastikan khazanah ini dapat dinikmati generasi masa kini dan akan datang,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan dalam setiap perancangan yang dibuat, terutama dalam meningkatkan taraf kehidupan ekonomi dan sosial mereka.

Menurutnya, pelbagai bentuk program, inisiatif dan bantuan diberikan kepada semua peringkat lapisan rakyat sama ada golongan miskin dan miskin tegar, termasuk pelajar sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi. – Info X