KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Aksyah Nasrah hari ini mengumumkan keluar parti dan menyokong perjuangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Beliau berkata sudah memaklumkan keputusan itu melalui surat kepada Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.
“Saya ingin mengumumkan bahawa saya telah meletakkan semua jawatan dalam BERSATU dan mengisytiharkan keluar daripada parti itu berkuatkuasa serta-merta.
“Saya telah menghantar surat peletakan jawatan kepada Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Ronald Kiandee bertarikh 28 Disember 2024 dan salinan surat kepada Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung BERSATU.
“Peletakan jawatan ini dibuat atas keputusan saya sendiri dan tidak dipengaruhi oleh sesiapa pun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, beliau menyokong penuh kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan perjuangan GRS dalam mempertahankan hak-hak dan kepentingan Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan Negeri Sabah.
Jelasnya, slogan ‘Rumah Kita, Kita Jaga’ adalah satu naratif yang amat tepat dalam memastikan Sabah benar-benar dipimpin dan diurus oleh kepimpinan parti tempatan tanpa menidakkan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan.
Aksyah berkata, beliau melihat dan menyedari bahawa selaku Ketua Menteri, Hajiji yang juga Pengerusi GRS ikhlas dalam memajukan Sabah melalui GRS.
“Kejayaan besar Hajiji adalah menyatupadukan pemimpin dan rakyat Sabah melalui satu gabungan wadah politik GRS. Perpaduan rakyat Sabah ini adalah perkara pokok yang menjadi teras kepada kemajuan negeri,” katanya.
Atas sebab itu, katanya rakyat Sabah seharusnya memberikan sokongan padu terhadap dasar, perancangan baik dan gagasan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang digagaskan Hajiji kerana manfaatnya adalah untuk rakyat Sabah hari ini dan generasi akan datang.
“Melalui penyatuan dan gabungan semua parti-parti tempatan, yang mewakili majoriti rakyat Sabah, saya yakin dan percaya Hajiji dan GRS mampu membawa Sabah lebih maju dan berjaya dalam semua sektor dan bidang demi kepentingan dan faedah rakyat keseluruhannya.
“Apa guna kita berpecah? Hajiji berniat baik satupadukan kita semua. Ini masa terbaik kita majukan negeri kita yang tercinta melalui GRS.
“Kita beri mandat penuh kepada GRS dalam Pilihanraya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17) dan saya juga akan turut serta membantu Hajiji dan GRS pada PRN itu nanti,” katanya. – Info X