KOTA KINABALU: Polis sedang mengesan aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza selepas menerima lebih 30 laporan termasuk berkaitan poster karikatur berbaur penghinaan terhadap Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11, Tun Musa Aman.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, susulan laporan polis yang diterima di seluruh Sabah itu, satu kertas siasatan terhadap individu berkenaan dibuka.
“Setakat ini, kita telah menerima lebih 30 laporan berkaitan dengan individu ini (Fahmi Reza) dan kertas siasatan telahpun dibuka.
“Kita mencarinya untuk dia bertanggungjawab atas perbuatannya dan pihak polis akan memastikan siasatan ke atas kes berkenaan diteruskan,” katanya pada sidang media berkaitan Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Jauteh berkata, pihaknya percaya Fahmi masih berada di negeri ini dan mungkin hadir pada perhimpunan aman yang dianjurkan Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) di hadapan Menara Kinabalu, petang esok.
Katanya, Fahmi dikehendaki polis untuk siasatan di bawah Akta Hasutan dan akan mengambil tindakan jika dia hadir pada perhimpunan berkenaan.
“Polis sedang mencarinya (Fahmi) untuk siasatan di bawah Akta Hasutan. Jadi yang lain jangan terpengaruh dengan provokasinya kerana kita sudah terang-terangan menyatakan bahawa polis mencarinya di bawah akta itu,” katanya.
Fahmi, katanya turut dicari bagi siasatan menghina pelantikan Tun Musa sebagai TYT baharu melalui poster satira karikatur bekas Ketua Menteri Sabah itu yang dilukisnya.
Sebelum ini, Fahmi memuat naik poster satira karikatur Tun Musa dengan imej negatif sebagai bantahan terhadap pelantikannya atas alasan pernah dikaitkan dengan rasuah.
Tindakan itu dianggap keterlaluan dan tidak beradab, lebih-lebih lagi membabitkan seorang ketua negeri. – Info X