Search

Sabah terus nikmati keamanan, kejayaan di bawah TYT baharu – Ketua Menteri

January 1, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyatakan keyakinan terhadap masa depan negeri ini yang akan terus menikmati keamanan, kejayaan dan kemakmuran di bawah Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11, Tun Musa Aman.

Keyakinan itu disuarakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di hadapan Tun Musa pada Istiadat Lafaz Sumpah Jawatan TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11, di Istana Seri Kinabalu, di sini, hari ini.

Tun Musa dan isteri, Toh Puan Farida Tusin bersama Hajiji dan isteri di Istana Seri Kinabalu.

Beliau juga menyatakan kesungguhan kerajaan pimpinannya untuk terus berusaha dan berikhtiar memajukan Sabah menerusi kerjasama semua pihak demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat negeri ini.

“Saya mengajak seluruh pemimpin dan rakyat di negeri ini untuk saling bekerjasama, berganding bahu dan bersatu padu ke arah memacu pembangunan negeri Sabah yang tercinta.

“Sesungguhnya, Yang di-Pertua Negeri adalah payung bagi seluruh rakyat, simbol kedaulatan negeri yang bermaruah serta pengukuh perpaduan dan keharmonian masyarakat yang berbilang bangsa, agama dan budaya.

Tun Musa menandatangi surat sumpah jawatan di Istana Seri Kinabalu.

“Justeru, institusi Yang di-Pertua Negeri yang amat dimuliakan ini, akan selamanya dijulang tinggi sebagai teras perpaduan rakyat jelata dan simbol kedaulatan bumi Sabah,” katanya.

Tun Musa, 73, yang juga bekas Ketua Menteri Sabah mengangkat sumpah jawatan TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11 bagi menggantikan Tun Juhar Mahiruddin bermula hari ini.

Beliau yang diiringi isteri, Toh Puan Faridah Tussin sebelum itu tiba di Dewan Istiadat Istana Seri Kinabalu pada jam 10.11 pagi, sebelum melafazkan sumpah jawatan pada jam 10.22 pagi.

Tun Musa kemudian menandatangani surat sumpah jawatan Yang di-Pertua Negeri Sabah disaksikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli, sebelum Hajiji menyampaikan ucapan tahniah dan melafaz ikrar taat setia.

Hajiji turut berkongsi pelbagai inisiatif dan kejayaan yang dicapai kerajaan negeri sejak lebih empat tahun lalu, khususnya usaha untuk memulihkan ekonomi negeri dan mensejahterakan rakyat menerusi Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Menerusi pelan pembangunan SMJ, kerajaan negeri berjaya meningkatkan nilai pelaburan di samping menawarkan peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan.

“Hasil negeri turut meningkat berkat tadbir urus kewangan negeri yang baik dan kita berjaya mengutip hasil hampir RM7 billion pada 2024.

“Kita akan meneruskan momentum ini untuk mencapai prestasi yang lebih cemerlang. Pencapaian yang sangat menggalakkan ini adalah hasil kerja keras dan komitmen tinggi pimpinan kerajaan bersama-sama penjawat awam selaku penggerak jentera kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, di sudut yang lain, berkat kerjasama dan sinergi padu antara sektor awam dengan sektor swasta sejak beberapa tahun kebelakangan ini, berjaya menghasilkan impak positif dalam pertumbuhan ekonomi negeri.

Perkembangan yang memberangsangkan itu, katanya adalah sejajar dengan hala tuju SMJ yang dilancarkan hampir empat tahun yang lalu.

Tun Musa berbual bersama Hajiji di Istana Seri Kinabalu.

Hajiji berkata kemajuan dan kesejahteraan rakyat tetap menjadi agenda utama kerajaan yang akan dilaksanakan melalui pelbagai bentuk program, inisiatif dan bantuan diberikan kepada kumpulan sasar, khususnya
golongan miskin dan miskin tegar.

Selain itu katanya, golongan pelajar dan mereka yang berhasrat untuk melanjutkan pelajaran dan pengajian di peringkat institusi pengajian tinggi juga tidak diabaikan, malah disediakan dana pembiayaan kos pengajian untuk mereka yang berkelayakan.

“Kerajaan juga akan terus memastikan kelestarian khazanah alam, sentiasa memelihara nilai budaya dan adat resam seluruh kaum, serta mengekalkan nilai perpaduan dan keharmonian yang sedia terjalin sejak turun temurun.

“Aspek keselamatan dan ketenteraman awam juga akan terus diutamakan bagi memastikan kesejahteraan berterusan rakyat Sabah,” katanya.

Hajiji turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan melafaz ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Tun Musa sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11.

“Semoga TYT Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Faridah Tusin serta seluruh ahli keluarga yang tercinta, sentiasa berada di bawah lindungan dan limpahan rahmat Allah SWT, dengan nikmat keafiatan dan kesejahteraan yang berpanjangan,” katanya. – Info X