Search

Kastam Sabah gagalkan cubaan seludup 98 kg dadah

January 7, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah menggagalkan cubaan menyeludup dadah selepas merampas 98 kilogram syabu dan ganja.

Semua dadah yang dianggarkan bernilai RM2.89 juta itu cuba dibawa masuk melalui perkhidmatan udara dalam dua siri rampasan pada 29 November dan 9 Disember lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Siti Mang berkata, kes pertama dikesan di MAS Kargo, Kota Kinabalu, apabila tiga bungkusan parcel berisi methamphetamine berjaya dirampas.

Katanya, semua dadah seberat 60.9 kilogram yang dianggarkan bernilai RM1.95 juta berdasarkan harga pasaran semasa.

Siti menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas Kastam Sabah.

“Kes rampasan kedua dilakukan pada jam 10.30 pagi membabitkan dua bungkusan parcel yang berisi 20.2 kilogram syabu.

“Semua dadah yang disembunyikan dalam kotak kertas A4 itu dianggarkan bernilai RM696,114,” katanya dalam sidang media di Wisma Penguatkuasaan Sepanggar, di sini, hari ini.

Siti berkata, sepanjang 28 November hingga 20 Disember lalu, pihaknya turut berjaya merampas 28 bungkusan parcel.

Katanya, pemeriksaan mendapati, semua bungkusan berkenaan mengandungi ketulan mampat tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja.

Dadah syabu dan ganja yang dirampas pasukan operasi Kastam Sabah.

“Semua rampasa ini melibatkan dadah seberat 17.1 kilogram dan dianggarkan bernilai RM250,038.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan sebatan, jika sabit kesalahan,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang media sama, Siti berkata, pihak turut berjaya merampas 50 kotak ‘Chewing Tobacco’ di Pelabuhan Sepanggar pada 2 Januari lalu.

Katanya, bahan larangan yang dianggarkan bernilai RM194,810 termasuk cukai itu dirampas selepas dikesan gagal mengemukakan permit import yang sah.

“Modus operandi yang digunakan adalah membuat pengikraran yang tidak benar dan bertentangan dengan kehendak Seksyen 79 Akta Kastam 1967,” katanya. – Info X