KOTA KINABALU: Margin penjanaan tenaga elektrik di Sabah dijangka terus bertambah menerusi inisiatif tenaga boleh diperbaharui ke arah pembekalan elektrik yang lebih mapan dan berdaya harap.
Terkini, Sabah Electricity (SE) bakal melaksanakan Projek Solar Photovoltaic Berskala Besar (LSSPV) menerusi usahasama dengan TNB Renewables Sdn Bhd (TRe) di Langkon, Kota Marudu.
Syarikat utiliti itu sudah menerima Letter of Notification (LoN) mengenai tawaran projek berkapasiti 15 MWac itu daripada Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS).
Ketua Pegawai Eksekutif SE, Ir Mohd Yaakob Jaafar, menyifatkan perkembangan itu sebagai satu pencapaian yang positif dalam usaha SE dan TRe menyokong inisiatif tenaga boleh diperbaharui.
“Ini seterusnya akan memberikan sumbangan kepada kelestarian tenaga hijau di negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Projek LSSPV terbaharu itu, katanya disasar dapat membantu meningkatkan margin rizab Grid Sabah ketika waktu beban puncak pada siang hari.
Katanya, SE dan TRe akan bekerjasama dengan pihak berkepentingan serta pakar tenaga boleh diperbaharui untuk memastikan pelaksanaan projek LSSPV itu berjaya disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
Dalam pada itu, Mohd Yaakob berkata, ketika ini SE memberi komitmen tinggi terhadap teknologi hijau termasuk membangunkan infrastruktur Sistem Simpanan Tenaga Bateri (BESS) berkapasiti 100 Megawatt (MW) di Lahad Datu.
“SE optimis bahawa kedua-dua projek LSSPV dan BESS ini akan menjadi penanda aras dalam inovasi tenaga lestari dan meningkatkan potensi kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui,” katanya. – Info X