KOTA KINABALU: Pegawai polis yang baru berkhidmat diingatkan supaya sentiasa menjaga integriti, tulus dan bertanggungjawab menjalankan tugas yang diamanahkan.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, integriti kekal menjadi keutamaan dan perlu dijadikan budaya pasukan polis.

“Jangan jadi hipokrit di dalam pasukan, sentiasa kekalkan integriti, tulus dan bertanggungjawab. Jalankan tugas yang diamanahkan dengan penuh tanggungjawab dan berhemah tanpa gagal.
“Integriti kekal menjadi keutamaan dan ia perlu menjadi budaya seluruh warga pasukan selain dapat meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Khas dan Sesi Amanat bersama Inspektor Percubaan Siri 2/2024 di Auditorium, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah (IPK), di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Shahurinain Jais.

Dalam pada itu, Jauteh mengingatkan pegawai polis yang baru berkhidmat untuk terus menjadi pegawai kanan yang baik.
“Rancang pengurusan kewangan dengan berhemah dan jangan pernah melupakan jasa serta pengorbanan ibu bapa selama ini sehingga mereka berjaya kini,” katanya.
Seramai 20 Inspektor Percubaan telah melaporkan diri di Kontinjen Sabah dan akan bergerak ke penempatan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)/Jabatan yang ditetapkan bermula hari ini. – Info X