BEAUFORT: Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Beaufort, baru-baru ini mengadakan Majlis Apresiasi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) bagi menghargai kejayaan murid pendidikan khas di sekolah itu.
Yang Dipertua Biro Permuafakatan Guru dan Ibu Bapa PPKI SK Pekan Beaufort, Mohamad Hasbullah Nenggok ketik merasmikan program itu berkata, antara pengisian majlis ini termasuklah anugerah kecemerlangan akademik dan kokurikulum.
“Seperti sedia maklum, dalam catatan sukan 2024 murid PPKI SK Pekan Beaufort melahirkan atlet yang mewakili sukan petanque, criket, stacking cup dan olahraga sehingga peringkat kebangsaan,” katanya.

Beliau juga menyarankan agar ibu-bapa perlu menyokong dan membantu guru-guru PPKI dalam melahirkan anak-anak istimewa ini ke arah kejayaan.
“Kekurangan upaya bukan bererti gagal selamanya, sekiranya digilap tidak mustahil anak-anak ini boleh bersaing dan menjadi lebih hebat dengan pelajar lain di luar sana.
“Badan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana bahagian juga diseru untuk membantu apa sahaja aktiviti yang diadakan oleh sekolah PPKI khususnya PPKI DK Pekan Beaufort dalam memacu kejayaan di masa akan datang.

“Semoga dengan kerjasama semua pihak dapat melahirkan seseorang manusia yang akan berjasa kepada negara kelak,” katanya. – Info X