Search

Demam babi Afrika (ASF) dikesan semula di Keningau

January 13, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kes Demam Babi Afrika (ASF) dikesan semula di Keningau menjadikan daerah itu kini kembali berstatus merah disebabkan jangkitan penyakit ternakan babi itu.

Menerusi satu kenyataan, Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata kes itu dikesan pada 7 Januari lalu membabitkan seorang penternak babi kampung.

Katanya, sebanyak 12 daripada 20 babi milik penternak terbabit dikesan dijangkiti penyakit berkenaan, setakat ini.

“Pelupusan dan kawalan pergerakan babi di ladang penternak itu sudah dilaksanakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Wilayah Keningau.

“Penemuan ini menjadikan daerah Keningau bertukar semula status daripada zon hijau (Zon Pemulihan) kepada zon merah (Zon Terjangkit),” katanya.

Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata berdasarkan siasatan lapangan, ternakan babi penternak terbabit menunjukkan tanda-tanda klinikal seperti kurang selera makan, lemah, hidung berair dan akhirnya mati.

“Sampel sudah diambil, diuji dan keputusan makmal adalah positif terhadap penyakit ASF. Tindakan kawalan pantas sudah diambil pihak DVS selaras dengan arahan di bawah Subseksyen 45(2) Enakmen Haiwan 2015.

“Enakmen itu mengenakan sekatan kawalan pergerakan babi dan produk babi dari daerah Keningau, manakala servalens aktif dan pasif juga dipertingkat di seluruh Sabah bagi memastikan penyakit ini tidak menular.

“Pada masa sama, penternak dinasihatkan untuk mempertingkat biosekuriti ladang dan kandang menternak dan mereka dilarang memberi sisa buangan dapur yang tidak dimasak semula kepada ternakan babi dan melawat kandang atau ladang yang berpenyakit.

“Penternak dinasihatkan tidak membeli babi hidup ataupun daging babi daripada sumber yang tidak diketahui tahap kesihatan ternakannya,” katanya.

Beliau berkata, ASF adalah penyakit yang disebabkan kuman Asfvirus yang menjangkiti babi melalui sentuhan secara langsung dengan babi yang berpenyakit ASF dan secara tidak langsung melalui sentuhan dengan perkakasan atau pengendali yang tercemar terhadap kuman ASF.

Jeffrey menasihatkan orang awam terutama penternak dan pengusaha ladang babi supaya melaporkan kejadian babi sakit atau mati berterusan kepada mana-mana pejabat DVS terdekat bagi tindakan segera agar penyakit dapat dibendung dengan kadar segera.

“Kementerian melalui DVS juga memaklumkan bahawa bekalan daging babi menjelang perayaan Tahun Baharu Cina adalah mencukupi dari ladang babi tempatan di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau,” katanya.

Sebelum ini, Keningau diisytihar sebagai daerah dijangkiti ASF pada 1 Julai 2021.

Jeffrey bagaimanapun berkata, setakat ini tiada kes terbaru ASF dikesan pada babi hutan.

Katanya, semua ladang babi komersial di Tawau, Sandakan, Tenom, Papar, Tuaran dan Penampang juga masih bebas penyakit ASF.

“ASF hanya menjangkiti ternakan babi saja dan tidak bersifat zoonotik (ASF bukan penyakit bawaan haiwan yang boleh menjangkiti manusia). Oleh itu masyarakat tidak perlu risau kesan ASF terhadap kesihatan manusia,” katanya. – Info X