KOTA KINABALU: Tindakan Parti Warisan hanya memilih untuk bekerjasama dengan Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dilihat sebagai taktik untuk memecah belah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, berkata jika pemimpin Warisan benar-benar mahu bekerjasama dengan mereka, ia perlu dilakukan di bawah platform GRS.
Beliau menegaskan, di pihak PBS, kepemimpinan parti itu tidak berganjak dengan pendirian untuk terus bersama dalam GRS.
“Sekiranya Warisan ingin bekerjasama dengan PBS dan STAR, adalah lebih baik jika mereka terus bekerjasama dalam GRS, bukan hanya dengan dua parti saja kerana langkah itu kelihatan seolah-olah bertujuan memecah belah parti dalam GRS.
“PBS sudah berada dalam GRS dan sangat komited terhadap GRS sejak hari pertama ia ditubuhkan. Kami (PBS) akan terus kekal bersama GRS selamanya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program ‘walkabout’ sempena Tahun Baharu Cina di Tamu Mingguan Jalan Gaya, di sini, semalam.

Timbalan Ketua Menteri itu memberi maklum balas terhadap kenyataan Warisan baru-baru ini yang menyatakan minat untuk bekerjasama dengan PBS dan STAR.
Sementara itu, Dr Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri menyifatkan pihak pembangkang sengaja mempolitikkan isu integriti yang dikaitkan dengan sumbangan politik didakwa diterima wakil rakyat GRS.
“Dalam politik, kita semua bergantung kepada sumbangan dan ia adalah sesuatu yang diterima, malah seluruh negara bergantung pada sumbangan dalam politik.
“Cara sumbangan itu sampai mungkin berbeza tetapi bagi saya, kita tidak boleh mengaitkan penerimaan sumbangan daripada konglomerat, individu atau syarikat lain dengan isu integriti,” katanya.
Pada sesi ‘walkabout’ itu, Dr Joachim mengedarkan kalendar 2025 kepada peniaga dan orang ramai yang berkunjung ke tamu mingguan itu.
Turut hadir ialah Timbalan Presiden PBS, Datuk Dr Yee Moh Chai dan Datuk Jahid Jahim; Naib Presiden PBS, Datuk Henrus Anding dan Datuk Johnny Mositun; Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki dan Timbalan Setiausaha Agung PBS, Datuk Jonnybone Kurum.
Hadir sama ialah Bendahari PBS, Datuk Lu Kim Yen; Ketua Pemuda PBS, Christoper Mandut; Timbalan Ketua Wanita PBE, Datin Vicky Yee; Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai dan Ketua Penerangan PBS Api-Api, Yee Tsai Yew.
Selain Tamu Jalan Gaya, Dr Joachim bersama kepemimpinan PBS turut menemui peniaga dan pengunjung di sekitar Pasar Lido, Luyang.
Beliau menyifatkan aktiviti tahunan sempena sambutan Tahun Baharu Cina sebagai satu pendekatan untuk menyantuni peniaga di sekitar Kota Kinabalu, termasuk masyarakat yang merayakan.
“Semoga Tahun Baharu Cina ini membawa kebahagiaan, keceriaan, kemajuan dan kesejahteraan kepada Sabah. Kami mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua rakyat Sabah. Semoga Sabah terus aman dan makmur,” katanya. – Info X