TAMBUNAN: Tiga termasuk dua wanita parah selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas dan terjatuh gaung sedalam 40 meter di Kampung Tonop, Jalan Tambunan – Ranau, di sini, hari ini.
Mangsa parah berusia lelaki berusia 21 tahun dan dua wanita berusia 35 dan 55 tahun manakala dua lagi mangsa lelaki masing-masing berusia 17 tahun cedera ringan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Penolong Penguasa Bomba Mitchell Francis George berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.06 tengah hari.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 31 kilometer dari balai bomba.

“Setiba di lokasi, kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux terbabas sendiri lalu terjatuh ke gaung sedalam 40 meter.
“Terdapat lima mangsa sudah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi rawatan awal seterusnya menghantar semua mangsa ke Hospital Tambunan.

“Tiada operasi menyelamat dilakukan hanya memberi rawatan awal dan mengambil maklumat di lokasi kejadian.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain yang wujud, operasi ditamatkan pada jam 1.13 tengah hari,” katanya. – Info X