KOTA MARUDU: Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bengkongan, di sini, yang setakat ini menempatkan enam keluarga berikutan banjir di daerah ini, hari ini.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) menerusi satu kenyataan, berkata pembukaan PPS itu dibuat atas persetujuan Pengerusi JPBD Kota Marudu, semalam selepas banjir mula melanda akibat hujan lebat berterusan.
“Semua mangsa yang dipindahkan setakat ini ialah dari Kampung Tamisan dan Rady Tigaman. Ketika ini anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sedang menjalankan proses pemindahan ke mangsa ke PPS,” katanya.
Sementara itu, di Pitas, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan menerima panggilan kecemasan mengenai banjir di Kampung Nibang.
Menerusi satu kenyataan, JPBM Sabah berkata laluan ke lokasi mangsa banjir tidak dapat dilalui berikutan air sungai yang melimpah ke jalan utama hingga menjejaskan operasi menyelamat mangsa banjir.
“Berdasarkan laporan, seramai 47 mangsa terperangkap di Sekolah Kebangsaan (SK) Nibang dan dilaporkan berada dalam keadaan selamat,” katanya.
Beliau berkata usaha anggota bomba bersama agensi lain yang terbabit dalam operasi banjir sedang berusaha mencari kaedah alternatif bagi menyelamat mangsa. – Info X